Monday, May 30, 2011

Jalan-Jalan Kerteh

Pada suatu petang, seorang kakak yang berdedikasi mengajak adik-adiknya berjalan-jalan.

"Jom kita pergi jalan-jalan!Luaskan fikiran..tak elok asyik memerap dalam rumah je. Tak baik untuk minda!"

Adik-adik: "Jommmm!!!"

Maka bermulalah perjalanan mereka menaiki sebuah makhluk.

*****
***
*
*
*
*
Ok, sebenarnya saya dan adik-adik berjalan-jalan ke Kerteh petang tadi. Peace!



Sampai ke mukim Kerteh...Ye, tak syak lagi sayalah supir kali ni

"Kakteh, lambak agi ke, men-nung lu ah" *Lambat lagi ke...termenung dulu la

Kawasan kilang sekitar jalan ke Kerteh..

Kilang gas


******
***
**
*
*

Ya, saya memandu masuk jalan ke Kampung Kerteh. (Kamu yang sedang tengok gambar ini: Saya tahu kamu akan tenung gambar ini lama-lama) Inilah PASTI betul-betul di hadapan rumah lama saya di Kerteh. Banyak kenangan saya di sini. Seawal 4 tahun saya telah menjejakkan kaki ke sini bersama Kakngah, Abang Rijal, dan Adik Maryam.

Inilah rumah lama saya di Kerteh. Sekarang ia sudah di'upgrade'.

Rumah kampung dahulunya telah 'lenyap'. Diganti dengan rumah besar tiga tingkat ini.

Rumah lama..pokok cermai dan jambu masih utuh di situ. Tapi pokok mempelam yang lebat berbuah dah tiada..huhu. Di situ tempat kami mendapat parut bermain dan di rumah ini banyak mengajarku erti kesusahan dan tidak lupa diri..

Rumah kampung lain..


Playground di sana...dah banyak berubah dan banyak yang tiada..hajat nak singgah tak kesampaian...hhuhu



Singgoh solat smeta kat masjid sano..
Sambung perjalanan...yeayy..~

Dah sampai..


Ini adik saya Ju merangkap camerawoman..kami memang berbajet kecil saja hari ni, jadi jangan tanya kenapa dia tak makan
Ini adik saya Musayyad
Jalan-jalan..cukuplah tu..time to go home!
Snap gambar office lama ayahanda jap...


Ianya sebahagian kenangan saya juga sebab dulu di SRP (Sekolah Rantau Petronas) selalu ada lawatan ke sini...dapat souvenir dari Esso /Petronas...


.....sekian...

Saturday, May 28, 2011

Kisah Seorang Gadis



Pada suatu hari seorang lelaki menemui seorang gadis. Beliau bertanya:

"Saya ini telah melakukan dosa. Maksiat saya terlalu banyak melebihi gunung. Andaikata saya bertaubat apakah Allah akan menerima taubat saya?"

"Tidak," jawab si gadis.

Pada masa yang lain, datang pula seorang lelaki lain kepada gadis itu dan berkata:

"Seandainya setiap butir pasir itu adalah dosa, maka seluas gurunlah tebaran dosa saya. Pelbagai maksiat telah saya lakukan, baik yang kecil mahupun yang besar. Tetapi sekarang saya telah bertaubat. Apakah Allah menerima taubat saya?"

"Sudah tentu," jawab si gadis dengan tegas.

Lalu ia menjelaskan: "Jika Allah tidak menerima taubat hamba-Nya, mungkinkah dia tergerak untuk bertaubat? Untuk berhenti daripada dosa jangan berkata, 'akan' atau 'andaikata' sebab hal itu akan merosakkan ketulusan niatmu."

Itulah di antara ucapan seorang gadis dari Kota Basrah itu dan seringkali menyakitkan hati mereka yang tidak memahami fikirannya. Bahkan ia pernah berkata: "Apa guna meminta ampun kepada Allah kalau tidak bersungguh-sungguh dan tidak terbit dari hati yang tulus dan murni?"

Setelah dewasa si gadis pernah disoal oleh Sufyan at-Thawri: "Apakah engkau mahu menikah kelak?"

Dia lalu tersenyum dan menjelaskan: "Pernikahan merupakan harus bagi mereka yang mempunyai pilihan. Padahal aku tidak mempunyai pilihan kecuali mengabdikan diri kepada Allah."

"Bagaimanakah jalannya sampai engkau mencapai martabat seperti itu?"tanya Sufyan.

"Kerana telah kuberikan seluruh hidupku kepada-Nya," ujar si gadis.

"Mengapa boleh kau lakukan itu, sedangkan kami tidak?" tanya Sufyan lagi.

Dengan ikhlas si gadis menjawab,"Sebab aku tidak mampu mencipta keserasian antara perkahwinan dan cinta kepada Allah SWT."

Ketahuilah bahawa si gadis adalah wanita sufi, Rabiatul Adawiyah.

Bahasa Cerminan Blogger Kita

Amaran: entri ini lebih kepada penyesalanku terhadap bahasa SEGELINTIR 'hero' blogger umat Melayu hari ini.

Dalam dunia tanpa sempadan menerusi internet hari ini, langit informasi terbuka luas. Sesiapa sahaja--selagi dikurniakan Allah nikmat pancaindera mata dan tangan, (atau kaki), boleh mengepos, menaip apa sahaja menurut lunas hatinya tanpa mengira dosa dan pahala. Tanpa menghiraukan jiran tetangga. Dunia blogging hari ini semacam dilanda satu fenomena. Manusia tak kira golongan mahu mengikut trend semasa. Mengetahui isu semasa. Namun dalam kerakusan mereka mencari isu, mereka bagaikan telah melupakan soal adab dan akhlak. Tolak ketepi semua itu. Asalkan nafsu serakah mendapat 'ilmu' itu dipenuhi. Semua jenis perkataan lucah, kotor, mencarut, dihalalkan atas nama kebenaran kononnya.



Apa yang paling dikesalkan, ada antaranya yang bergelar 'ustaz', tanpa segan silu menaip perkataan-perkataan lucah, mencarut, maki hamun di laman sesawang. Itu belum kira lagi pengikut-pengikut 'ustaz' itu yang menjadikan 'ustaz' mereka bagaikan disimbahi cahaya agung, menjadikan perkataan-perkataan 'ustaz' tersebut sebagai fatwa pula di laman mereka. Walhal, jika ditanya, ramai antara mereka belum pernah atau tidak pernah langsung berjumpa dengan 'ustaz' terbabit. Terus menjadikan ustaz itu idola mereka setelah membaca apa yang disifatkan sebagai 'mengetuk' pintu hati mereka kononnya.



Suatu waktu dulu saya tidak berkecuali masih naif dalam hal blogging. Lawatan ke blog-blog juga jarang dilakukan. Namun saya di'link' kan ke blog-blog berbahasa 'indah' sebegini oleh seseorang yang rajin menelaah blog-blog sebegini. Mana mungkin saya sebagai yang bagaikan katak bawah tempurung ketika itu tidak terkejut dengan bahasa-bahasa sebegini. Sebutkan apa sahaja perkataan negatif dan lucah pasti akan dijumpai di sana. Memang gelap hati membacanya, namun antara benda yang pasti ialah blog sebegitulah yang kerap dikunjungi dan mendapat ramai peminat (penagih) yang tertunggu-tunggu bahasa keji dan lucah setiap hari. Ramai pula yang terpengaruh mengeji maki orang lain atau paling tidak, selesa mengeluarkan bahasa kesat di sana sini kerana ada 'sifu' yang lebih 'indah' bahasanya.

Blogger-blogger sebegini sebenarnya bukan tiada jasa mereka. Ada. Namun yang dikesalkan adalah bahasa mereka. Apa tidak ada jalan lain mahu memberikan maklumat? Apa tidak boleh disalurkan sahaja kepada mereka yang berkenaan tentang apa yang diperkatakan? Senang ya, menaip begitu begini, tung tang tung tang namun individu yang berkenaan langsung tidak membacanya. Sebaliknya pihak yang tidak berkenaan pula terhegeh-hegeh membaca dan kemudian mencerna dan menyerap segala perkataan jelik di minda. Jika yang membaca itu pandai berfikir dan membezakan baik dan buruk tidak mengapalah, namun bagaimana jika yang membaca itu adalah anak-anak kecil dan pelajar sekolah yang masih di bawah umur? Tidak terfikirkah golongan ini walau sedetik atau sekelumit di minda mereka akan jati diri anak-anak muda ini?

Sebagai bakal pendidik, saya teramatlah kesal dengan sikap segelintir blogger yang 'lepas tangan' dalam hal berbudi bahasa. Apa yang saya amati, lebih separuh kandungan blog seperti itu di'hiasi' perkataan-perkataan yang amat menjijikkan. Walaupun blog merupakan suatu kawasan peribadi, harus diingat anda tidak pula 'memagar' blog anda dari dimasuki atau dilawati golongan-golongan yang tidak berkenaan. One thing for sure, generasi sekarang sememangnya generasi atas talian. Tidak mustahil akal mereka telahpun dipenuhi dengan perkataan-perkataan negatif lama dahulu. Namun bila orang dewasa berlagak wira dan mengguna bahasa sesuka hati, saya kira satu bebanan bertambah buat para pendidik untuk melentur rebung yang telah menjadi buluh sebelum masanya. Tidak hairanlah anak-anak murid di sekolah begitu terkenal dengan bahasa 'murni' sebegini. Apa lagi bila golongan bapa sendiri yang mempelopori bahasa-bahasa sebegitu. Atau mungkin saja bila tidak dibendung, turut diajak golongan ibu melestarikannya sekaligus semacam jadi budaya dalam masyarakat kita. Keji-mengeji, carut-mencarut, lucah dan sebagainya dianggap biasa. Jangan sampai suatu hari nanti kita mati meninggalkan trademark-trademark lagha, lucah dan carut kita. Waktu itu tiada yang bernilai melainkan doa yang baik dari yang jauh dan dekat, yang mengenal atau tidak.

Rasulullah SAW bersabda; " Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam" (HR Bukhari dan Muslim)

"Janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang suka menyebarkan fitnah hasutan, yang sangat menghalangi amalan kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang sangat berdosa." (Al-Qalam:10-12)

Friday, May 27, 2011

Kepimpinan Dalam Islam

Secara tabie, kepimpinan adalah satu bentuk realiti yang sentiasa wujud di alam ini. Bermula daripada bentuk kepimpinan yang sebesar-besarnya, iaitu kepimpinan Allah terhadap keseluruhan alam ini, hinggalah kepada sekecil-kecilnya iaitu kepimpinan individu.

Pengiktirafan Allah kepada pimpinan manusia merupakan satu bentuk amanah. Maka kepercayaan untuk menguruskan alam ini perlulah difahami dan dilaksanakan sepenuhnya oleh insan muslim itu sendiri. Firman Allah:

Maksudnya: "Sesungguhnya Aku (Allah)melantik manusia sebagai khalifah di atas muka bumi." (Al-Baqarah: 30)

Kepimpinan adalah sejenis hubungan perilaku manusia, pengaruh, daya tindakan, serta penghalangnya ke arah matlamat yang tertentu dengan cara yang boleh menjamin kepatuhan, kepercayaan dan penghormatan.

Kedudukan kepimpinan adalah sangat penting dalam Islam. Para sahabat dan tabiin telah ijmak bahawa amanah ini adalah tuntutan syarak selepas daripada kewafatan Rasulullah. Para sahabat telah berbaiah kepada Abu Bakar untuk menjadi khalifah dengan tidak membiarkan masyarakat tanpa ada pemimpin meskipun pada ketika itu jenazah baginda belum disemadikan.

Oleh itu kepimpinan dalam Islam bukan lagi merupakan satu TASHRIF tetapi juga lebih daripada itu kerana ianya merupakan satu TAKLIF yang amat besar kepada insan yang terpilih. Ia hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi prasyarat kepimpinan untuk dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan tawakkal kepada Allah. Rasulullah SAW pernah menegaskan:

"Apabila berangkat tiga orang dalam perjalanan maka hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua."(al Hadith)

Inilah perintah baginda terhadap pelantikan ketua (pemimpin) walaupun dalam situasi yang kecil (bermusafir) dan maka apatah lagi dalam kumpulan yang besar atau organisasi yang khusus dan mempunyai tugas, sudah pasti keperluan terhadap pemimpin adalah terserlah.

KEPENTINGAN DAN MATLAMAT

Dalam perjalanan hidup insan, matlamat yang jelas merupakan satu elemen yang sangat penting kerana ia akan mendasari tindakan-tindakan yang dilaksanakan. Islam telah menggariskan beberapa matlamat utama yang perlu dicapai dan ia memerlukan satu bentuk kepimpinan bagi memastikan pelaksanaan yang syarie dan jelas.

1. Memakmurkan bumi dengan pelaksanaan syariat
Pengiktirafan manusia sebagai khalifah disertakan 'peruntukan-peruntukan' kuasa yang tertentu menjadikan tugas pemimpin untuk melaksanakan syariat merupakan satu tuntutan yang pasti. Pemimpin wajib melaksanakan syariat Allah sepenuhnya, kerana dengan cara ini sahaja kemakmuran akan dapat dikecapi. Pemimpin mestilah yakin untuk mengaplikasi saranan-saranan Islam kerana ianya dijamin oleh Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah adalah Islam (al Imran:19)

2. Menyambung Tugas Rasul
Ketetapan bahawa Rasulullah merupakan utusan terakhir menegaskan tiada lagi pemimpin umat bertaraf rasul yang akan dibangkitkan hinggalah kebangkitan semula Nabi Isa, sedangkan tugas menegakkan syariat Allah merupakan kewajipan sepanjang zaman. Oleh itu, perlulah wujud pemimpin di kalangan manusia itu sendiri untuk mengambil peranan baginda. Pemimpin yang dimaksudkan adalah pemimpin yang benar-benar berkelayakan dan bertaraf ulamak. Diiktiraf dan dia sendiri menerima wala' daripada orang di bawah pimpinannya.

3.Bukti Kepatuhan Kepada Allah
Setelah berjaya merealisasikan kedua-dua matlamat utama di atas secara tidak langsung terbuktilah kepatuhan insan muslim kepada Allah, yang dipelopori oleh pemimpin-pemimpin yang berteraskan tauhid yang kukuh dan amalan yang benar. Masyarakat akan dibimbing supaya sentiasa taat kepada Allah dalam amalan seharian mereka dan mereka sentiasa diingatkan oleh pemimpin mereka agar sentiasa berlumba-lumba mencari keredhaan Allah.

4.Kemaslahatan Ummah
Kepimpinan yang wujud bertanggungjawab untuk memastikan hak-hak semua pihak terpelihara. Apabila keadaan ini dapat direalisasikan maka nasib ummah akan terbela dan maslahat akan terjaga. Ini adalah berasaskan konsep keadilan di dalam Islam yang menuju ke arah keamanan sejagat dan kesejahteraan bersama.

-"artikel di atas saya kopi pasta, pemilik asal tak dikenalpasti tapi harap2 ada yang menegur jika tersilap."

Sebenarnya ada sambungan kepada artikel di atas, tapi panjang sangat. Tak larat eden menaip. (Bukan kopi pasta betul-betul pun). Ok, berbalik kepada kepimpinan dalam Islam, ia secara langsung berkait dengan kepimpinan beragama. Beragama dalam kepimpinan. Nak tak nak kena tahu, agama dan kepimpinan tak dapat dipisahkan..dipisahkan macamana? Haa...lu pikir la sendiri. Eh tak..tak. Macam ni. Bila disebut kepimpinan, apa yang datang kat fikiran kita? Mestilah pentadbiran atau pengurusan ye tak? Dan apa simbolik dari semua tu? Politik? YE betul...even ramai tahu politik ni ada kat mana-mana sebenarnya. Dekat tempat kerja, disebut 'office politics', kat dalam kelas, 'classroom politics', heh reka. Kalau pentadbiran dan pengurusan tu pulak, tak perlu agama ke?

Ramai yang beranggapan politik aka strategi pentadbiran dan pengurusan tu kotor, mereka mengarahkannya kepada politik parti lah apa lagi. Akhirnya ada yang lebih senang jadi atas pagar atau neutral. Padahal dalam Islam, siasah lebih kepada penjaga. Maksud si sini pihak yang memelihara urusan umat, memahaminya dengan kefahaman yang mendalam dan menyelesaikannya dengan pemikiran dan pandangan yang betul. Dan siapakah yang paling disepakati sebagai pihak yang dapat memelihara urusan ummah dengan mengikut lunas Islam yang betul kalau bukan golongan Ulama'? Kalau kita buka mata hati dan minda jelas bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri adalah seorang Ulama'. Sebab itu disebut Ulama' pewaris nabi. Para sahabat dan tabi' tabiin juga adalah dari golongan yang mampu mengeluarkan fatwa berkaitan sesuatu urusan ummah. Oleh sebab itulah pentingnya para pentadbir ummah ini dari golongan agamawan yang mampu mengeluarkan hujah dan fatwa demi kemaslahatan ummah. Even seorang protaz atau prozah pun, sekiranya dia bukan Ulama', dia masih belum mampu. Namun tidak dinafikan sumbangan mereka terhadap Islam. Cuma seandainya berlaku pertembungan.

Pendek kata, kalau ilmu tentang siasah dan kepimpinan dalam Islam masih kurang, carilah ilmu sebanyak-banyaknya supaya kita tidak membuat keputusan mengikut akal pendek dan dalil sendiri yang akhirnya merugikan umat Islam. Wallahua'lam.

Saturday, May 21, 2011

Mintalah Pertolongan Dengan Sabar dan Solat


Saya cuba hadam ayat-ayat itu. Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat. Seringkali bila diuji, kita sebagai manusia biasa mudah lemah. Mudah menyalahkan sesuatu. Sedangkan Allah telah mengatakan, apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga sedangkan kamu tidak diuji? Jelas ujian pada diriku bukanlah segah ujian para murabbi, anbia jauh sekali. Sedangkan ujian ini hanyalah secebis dari dunia yang diibaratkan seperti setitis air dari selautan air.

"Bersabar dan berdoalah."

Seringkali kita bersedih, kecewa, marah, putus asa, tertekan, runsing, dan sebagainya, hati kita menjadi mudah rapuh. Kita mencari-cari penyelesaian. Namun seringkali pergantungan kepada Allah dilupakan. Mungkin ujian yang ditimpakan adalah kerana diri sendiri yang lalai. Lihat dan muhasabah kembali niat kita menjalani kehidupan sehari-harian. Adakah kita leka maka Allah beri ujian itu? Maka betulkanlah kembali niat kita.

Sewaktu diri ingin bersabar dan berdoa penuh ikhlas kerana Allah, kita akan diuji pula dengan bisikan syaitan yang sejak dulu ingin memesongkan kita dari jalan penuh keredhaan dan pengharapan. Justeru hati kita mudah dipaling jika tidak terus berfikiran penuh ikhlas, mengosongkan hati dari anasir-anasir seperti mudah bersangka buruk, hasad, tidak bersyukur dan sebagainya. Redhailah akan apa yang telah diberi Allah pada hari ini di samping bermuhasabah atas apa yang berlaku. InsyaAllah, ada hikmahnya atas apa yang berlaku.

"Solatlah, mohon keredhaan Allah sentiasa. Sesungguhnya sabar dan solat itu berat, kecuali bagi orang-orang yang beriman."

Bersyukurlah kita masih dalam perhatian-Nya untuk diberi ujian bagi mengingati-Nya. Bersyukurlah kita dipilih Allah untuk kembali kepada-Nya. Allah tidak akan membebankan seseorang itu sesuai dengan kesanggupannya. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Muhasabah kembali diri kita agar sentiasa dalam redha-Nya.

"Dalam kehidupan seharian, terlalu banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi. Maka mintalah pertolongan dengan sabar dan solat."

Tuesday, May 17, 2011

Sharing: Bagaimana Akhirnya Aku Bertudung Labuh


Aku mengurut-urut keningku perlahan-lahan. Penat. Aku baru sahaja selesai mengulangkaji sebahagian buku subjek Muamalat. Ku tutup buku itu lalu aku bangun dan melangkah keluar dari bilik. Aku menuju ke ruang tamu. Kosong. Di mana semua orang. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk keluar menghirup udara petang. Aku segera mencapai sehelai tudung dan menyarungkannya di kepala. Stoking juga ku ambil lalu ku pakai.

Aku melangkahkan kakiku ke luar rumah. Tetapi hasrat untuk berjalan-jalan ku batalkan lalu aku mengambil keputusan untuk naik ke bumbung rumah. Di atas bumbung rumahku ada sebuah bahagian seakan-akan balkoni yang dibina oleh ayahku sebagai tempat istirehat pada waktu-waktu senggang. Ada sebuah meja dan beberapa kerusi buatan sendiri di situ.

Aku melabuhkan punggung di salah sebuah kerusi yang menghadap ke jalan raya. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tudungku turut terbuai ditiup angin semilir petang. Ada anak-anak kecil yang sedan berkejaran. Ada yang sedang berbasikal dan ada yang sedang bermain badminton. Aku tersenyum melihat anak-anak kecil ini. Indahnya alam kanak-kanak.

Di sudut lain pula ada anak-anak remaja yang sedang berkumpul di atas motosikal masing-masing. Mungkin menunggu waktu yang sesuai untuk merempit. Ada juga anak-anak gadis berpakaian kurang sopan sedang berjalan-jalan. Aku mengeluh. Sebagai seorang gadis, aku turut merasa malu melihat mereka berpakaian seperti itu. Ya, lebih memalukan kerana mereka bertudung. Tudung yang bukan tudung dengan pakaian yang ketat dan sendat.

Aku mengalihkan pandanganku ke tempat lain. Hatiku sayu mengenangkan umat Islam kini yang semakin rapuh imannya. Dan aku? Tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengubahnya. Aku bermonolog sendirian. Dahulu, aku juga seperti mereka. Bertudung sekadar syarat. Bagiku, asalkan bertudung itu sudah cukup. Tetapi segala-galanya berubah kerana suatu peristiwa. Aku termenung mengingat kembali peristiwa itu.

************************************************

Kisah itu bermula ketika aku berusia 13 tahun. Aku mula menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah. Aku bersekolah di sebuah sekolah menengah agama yang terkemuka di Hulu Langat. Hari pertama persekolahanku, aku berkenalan dengan ramai teman baru dan ada juga teman-teman dari sekolah rendah yang turut menyambung pelajaran di situ sepertiku.

Ingin aku ceritakan betapa indahnya suasana masyarakat di situ. Gadis-gadisnya bertudung labuh dan pemuda-pemudanya segak berkopiah. Suasananya tenang dengan pokok-pokok rendang yang menghijau, kicauan burung dan ikan-ikan yang sedang bermain di kolam. Tetapi, itu adalah perasaan yang ku rasakan kini iaitu saat aku telah menginjak dewasa, saat aku mengenangkannya.

Namun, saat suasana itu sedang ku alami, hatiku remajaku memberontak. Mengapa aku harus bertudung labuh ke sekolah? Hodohnya! Itulah yang ku fikirkan saat itu. Aku gadis bertudung tetapi aku bukan gadis bertudung labuh.

Hari-hari persekolahanku, ku lalui seperti biasa. Aku mula dapat menyesuaikan diri. Sehinggalah pada suatu hari, kami semua dikehendaki hadir ke sekolah pada hari Sabtu untuk membersihkan kelas sempena Pertandingan Keceriaan dan Kebersihan Kelas. Di rumah, aku mula gelisah. Apa yang harus ku pakai untuk ke sekolah??

'Ish, nak pakai apa ni? Takkan nak pakai tudung pendek ni kot?? Malulah!'

Aku benar-benar bingung. Aku tidak mungkin akan hadir ke sekolah dengan tudung pendekku. Aku malu kerana selama ini semua teman-temanku hanya pernah melihatku bertudung labuh sekolahku itu. Pasti mereka akan menganggapku sebagai seorang yang hipokrit. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk meminjam sehelai tudung labuh ibuku. Walaupun ibuku tidak bersekolah agama, tetapi dia bertudung labuh. Mungkin kerana dia mengajar di sekolah agama atau mungkin kerana itu adalah keinginannya sendiri. Aku juga tidak tahu.

'Mak, nak pinjam tudung labuh sehelai'
'Nak buat apa?'
'Esok Along kena pergi sekolah'
'Laa..pakai je la tudung yang Along biasa pakai tu'
'Taknak, Along malulah. Nanti apa pulak kata kawan-kawan Along kalau tengok Along pakai tudung pendek'
'Hah, yelah. Ambillah yang mana Along nak'

Aku segera mengambil sehelai tudung ibuku yang berwarna krim. Hatiku melonjak girang. Bolehlah aku ke sekolah dengan bertudung labuh nanti. Tidak perlulah aku berasa malu dengan teman-temanku lagi.

Esoknya, aku memakai sehelai t-shirt dengan tudung labuh tersebut. Agak lucu kerana tudung itu agak besar denganku. Ah, aku tidak peduli asalkan aku ke sekolah dengan bertudung labuh. Ibuku menghantarku ke sekolah. Saat aku tiba ke sekolah, aku terkedu. Teman-temanku sudah sampai. Ramai. Lelaki dan perempuan semuanya sudah berada di dalam kelas. Tetapi bukan itu yang membuatku terkedu.

'Tengok, kawan-kawan kamu tu tak ada pun yang pakai tudung labuh. Tu lah, mak cakap pakai tudung biasa je kamu takanak dengar. Degil'

Aku hanya mendiamkan diri. Perlahan-lahan aku membuka pintu kereta. Kakiku melangkah lesu keluar dari perut kereta. Terasa seakan-akan semua orang memandangku. Saat itu, aku rasa seperti ingin menangis. Terasa seakan-akan semua orang sedang ketawa melihatku.

Mataku liar memandang sekeliling. Ya, ada yang turut berpakaian sepertiku. Aku lega. Sekurang-kurangnya aku tidak berseorangan. Tetapi, teman-teman rapatku semuanya bertudung pendek. Dan mereka berlagak seolah-olah tidak mengenaliku. Aku hanya melangkah lesu masuk ke dalam kelas.

Aku tersenyum mengenangkan kembali kerenahku. Bertudung labuh kerana malu. Ah, naifnya aku saat itu. Aku kembali semula ke zaman persekolahanku.

'Bagusnya kau pakai tudung labuh'

Kata seorang temanku. Lelaki. Aku sekadar mendiamkan diri. Sebetulnya aku malu. Mereka tidak tahu bahawa aku memakainya kerana terpaksa. Kerana malu dan khuatir dikatakan hipokrit.

Sejak saat itu, aku sentiasa memakai tudung albuh apabila perlu ke sekolah pada bukan hari persekolahan. Ya, masih kerana aku malu. Aku tidak ikhlas memakainya. Bahkan aku merasakan aku sangat hodoh memakai tudung labuh. Tetapi aku tetap memaksa diriku untuk bertahan. Ibuku pula kurang memberikan sokongan. Dia tidak kisah samada aku bertudung labuh ataupun tidak. Baginya, cukup sekadar tudungku itu menutup aurat. Labuh menutupi dada. Walaupun ibu bapaku tidak bersekolah agama, mereka amat menitikberatkan ajaran agama dalam keluarga. Aku dilarang sama sekali berpakaian tidak menutup aurat di luar. Walaupun aku bertudung pendek, auratku terjaga. Mungkin kerana tubuhku yang kecil pada masa itu lalu walaupun bertudung pendek, perhiasan wanitaku terjaga.

Suatu hari, aku keluar ke Pekan Kajang bersama kawan-kawanku. Tetapi, kali ini aku bertudung pendek. Ah, aku lebih malu memakai tudung labuh kalau di Kajang. Di situ, orang-orangnya bergaya. Pasti aku akan kelihatan aneh dengan tudung labuh apabila berada dalam kalangan mereka. Malahan aku berbaju ketat dan tudungku silang sehingga nampak perhiasan wanitaku. Aku bersikap berani kerana ibuku dan ayahku tiada di rumah. Mereka hanya akan pulang pada waktu malam.

Aku berpisah dengan kawan-kawanku apabila mahu pulang. Aku pulang dengan menaiki bas. Saat aku masuk ke dalam perut bas, ku lihat hanya tinggal satu tempat duduk di sebelah seorang makcik. Aku segera mengambil tempat. Penat berdiri.

Di pertengahan jalan, makcik yang duduk di sebelahku turun lalu tempatku diambil oleh seorang lelaki muda. Botak. Berpakaian aneh dengan corak tengkorak pada bajunya. Aku mengengsot sedikit lalu memandang kosong ke luar tingkap. Tidak selesa. Tiba-tiba terasa ada tangan seseorang di pinggangku. Aku tersentak tetapi aku tidak segera melatah. Aku menjeling pada pemuda di sebelahku. Matanya tertutup rapat. Sangkaku dia tertidur dan tangannya tidak sengaja menyentuhku. Lalu ku alihkan tangannya dan kembali memandang ke luar tingkap. Tiba-tiba ia berlaku sekali lagi. Kali ini ku rasakan tangan itu bergerak-gerak menandakan kali ini perbuatan itu disengajakan. Pantas aku mengambil begku dan diletakkan di antara aku dengannya. Kalau ikutkan hatiku yang baran, nahas lelaki ini ku kerjakan. Tetapi, keadaan sesak di dalam bas membantutkan niatku. Aku menudukkan tubuhku dan menongkat dagu memandang lagi ke luar. Dan tak ku sangka lelaki tiu berani meletakkan tangannya di bahuku.

'Hoi!!!'

Tanpa perasaan malu aku bangun dan berteriak. Aku tidak peduli dengan mata-mata yang sedang memandangku. Lelaki ini harus ku ajar. Tetapi dia sekadar membatu di tempatnya tanpa sedikit pun terkuit.

'Kau ni apahal?! Jangan nak kurang ajar dengan aku!'
'Apa?? Apa aku buat kat kau??'

Dia memandangku sinis.

'Apa??'
'Kau..kau..urgh, tepilah, aku nak keluar! Pakcik, berhenti! Saya nak turun!'

Aku berteriak kepada pemandu bas agar segera berhenti. Sakit hatiku melihat wajah pemuda itu. Sebelum aku turun, aku memijak kaki pemuda itu sekuat hatiku. Dia terjerit. Puas hatiku.

'Padan muka, jangan nak main-main dengan aku!'

Aku pulang dengan menaiki bas lain selepasnya. Di rumah, apabila ibuku pulang aku menceritakan peristiwa tersebut pada ibuku. Dia memarahiku. Katanya, aku tidak berhati-hati sehingga ada orang yang mengambil kesempatan terhadapku.

Wajahku berkerut apabila mengingati peristiwa hitam itu. Itu pertama kali dalam hidupku peristiwa sedemikian terjadi padaku. Sejak itu, aku jadi trauma untuk menaiki bas. Tetapi, ada peristiwa selepas itu yang telah mengubahku menjadi seperti aku sekarang ini.

Petang itu, aku baru sahaja selesai menghadiri kelas tambahan di sekolah. Kebiasaannya ibuku akan datang mengambilku tetapi petang itu ibuku tidak dapat datang kerana kereta ibuku rosak dan berada di bengkel kereta. Itu bermakna aku harus menaiki bas untuk pulang.

Suasana di Pekan Kajang seperti biasa. Penuh sesak dengan manusia. Aku mula terbayang peristiwa hitam yang pernah terjadi padaku di dalam bas. Mataku meliar mencari bas yang kosong. Aku tidak mahu mengambil risiko menaiki bas yang penuh sesak. Khuatir peristiwa itu akan berulang lagi.

Bas mula bergerak menuju ke destinasi. Aku duduk seorang diri. Begku letakkan di kerusi sebelahku. Sengaja. Aku tidak mahu ada orang duduk di situ. Tiba-tiba..

'Kak, boleh saya duduk kat sini?'

Seorang pemuda berusia dalam lingkungan 20-an menegurku. Aku memandangnya sekilas.

'Suka-suka je panggil aku kakak. Mentang-mentang aku pakai tudung labuh. Tak nampak ke aku bawa beg sekolah ni?'

Aku serba-salah. Aku bimbang peristiwa itu akan berulang lagi. Tanganku perlahan-lahan mengambil beg di sebelah tempat dudukku. Pemuda itu juga kelihatan teragak-agak untuk duduk. Dia sekadar duduk di hujung kerusi. Langsung tidak bersentuh bahu denganku. Aku tersenyum. Lega.

'Sekolah lagi ke?'

Aku tersentak apabila suara lelaki itu menegurku. Aku menoleh dan mengangguk.

'Sekolah agama ke? Kat mana?'
' A'ah, sekolah agama kat Langat'
'Ooh..yeke. Baguslah adik pakai macam ni bila keluar. Jangan pakai tudung labuh kat dalam sekolah je. Orang yang pakai tudung labuh ni, maruahnya terjaga. Bila pakai tudung labuh, orang tak berani mengurat. Hihi..'

Aku terdiam mendengar kata-katanya. Terasa kata-kata itu benar-benar tepat menikan di hatiku.

'Abang turun dulu. Kalau nak tahu, abang ni ex sekolah adik'

Pemuda sopan itu berlalu keluar. Aku menghantar langkahnya dengan pandangan kosong. Sekumpulan anak muda masuk ke dalam perut bas. Bising. Mereka berpakaian serba hitam dengan rambut tercacak berwarna-warni. Aku kembali teringat peristiwa itu. Belum sempat berbuat apa-apa, salah seorang dari mereka mengambil tempat di sebelahku. Tetapi, dia juga seperti pemuda sopan tadi. Sekadar duduk di hujung kerusi. Aku terkesima. Kata-kata pemuda tadi kembali terngiang-ngiang di telingaku. Bayangan peristiwa hitam itu bermain di mindaku. Ya, saat itu aku berpakaian kurang sopan. Tudungku pendek menampakkan perhiasanku. Bajuku ketat dan tidak menutup aurat.

Aku kembali ke alam nyata. Bayangan peristiwa lalu itu hilang dari mindaku. Aku bersyukur kerana diberi peluang untuk berubah. Aku bersyukur kerana diganggu oleh pemuda kurang sopan itu dan aku bersyukur dipertemukan dengan pemuda sopan yang menasihatiku itu. Jika tidak kerana mereka, pasti aku semakin jauh tersesat. Pasti aku akan sentiasa bertudung labuh kerana malu bukan kerana ALLAH.

Sejak peristiwa itu, aku mula mengikhlaskan diri dalam bertudung labuh. Aku tidak lagi memakainya hanya untuk ke sekolah. Aku memakainya di mana-mana sahaja apabila aku keluar dari rumah. Dan segalanya benar, bertudung labuh secara automatik membuatku terjaga. Maruahku terpelihara dan tidak dipermainkan. Tiada orang yang berani menggangguku bahkan dengan bertudung labuh juga, aku jadi lebih berhati-hati dengan sikapku kerana aku tahu ada banyak mata yang memerhati langkahku.

Aku bangun lalu turun ke bawah. Rupa-rupanya adik-adikku keluar bermain di taman. Aku tersenyum melihat adik-adik perempuanku yang turut manis bertudung labuh. Aku ingin mereka menjadi gadis solehah. Kini, aku bertudung labuh kerana ALLAH bukan lagi kerana malu dengan teman-temanku. Walaupun bukan tudung labuh seperti waktu aku bersekolah, ia masih lagi labuh dan menutup auratku. Aku akan sentiasa cuba untuk memperbaiki diriku menjadi gadis yang solehah.

sumber: www.iluvislam.com