Friday, July 15, 2011

Kasih Yang Tidak Boleh Bertemu Dalam Satu Waktu


Kasihkan ALLAH dan kasihkan MAKSIAT

Kasihkan JIHAD dan kasihkan HAYAT

Kasihkan PENGORBANAN dan kasihkan HARTA

Kasihkan KEBENARAN dan kasihkan KEKUASAAN

Kasihkan KEDAMAIAN dan kasihkan KEKUASAAN

Kasihkan KEBAJIKAN dan kasihkan DIRI SENDIRI

Kasihkan PERJUANGAN dan kasihkan KEREHATAN

Kasihkan RAKYAT dan kasihkan PENINDASAN

Kasihkan KEJUJURAN dan kasihkan PENIPUAN

-Dr. Mustafa Al-Sibai'

(Strategi Menghadapi Peperiksaan, Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah bersama Haji Muhammad Zakaria & Fatimah Misran)

Wednesday, July 13, 2011

Bukan Disuruh Jadi Malaikat, Tapi...


bukan disuruh jadi malaikat, tapi...[not asked to be an angel, but...] (khas buat adik-adikku)

Berlalu waktu dari garis pemula itu
Ditoleh sejenak
Banyak momen kita tersasar jauh
kata dan rupa
tak seperti apa yang Dia pinta

Dan kau marahkan aku
bila aku tak seperti kau harapkan
aku sedar
kerana
aku bukan malaikat

Lalu masa
kita sama-sama muhasabah
bukan disuruh menjadi malaikat
tapi

jadi HAMBA YANG BERSYUKUR
walau sedikit cuma
yang mampu dan mahu


Elapsed time from the originating line
moment glimpsed
moments; we are a long way off
words and appearance
not as He had pleaded

And you were mad at me
when I do not like what you expect
I realized that
because
I'm not an angel

then
we are equally conscious
not asked to be an angel
but

to be the GRATEFUL SLAVES
even a slight
which can and want
to be

by: Addin Islam


p/s-HAMBA YANG BERSYUKUR..hmm, kenalah akur dengan perintah Allah dalam hal yang fardhu; solat, tutup aurat dengan sempurna, jaga akhlak dll..sama-samalah improve diri..dan nasihat menasihati..=)

Tuesday, July 12, 2011

Senyuman Rasulullah Banyak Bantu Misi Dakwah



BUKAN sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah SAW, manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya.

Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah SAW memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda.

Disebabkan itu, Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman Rasulullah SAW ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar,
“Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya.”
(Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)

Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,
“Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW."
(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Cucu kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata,
“Aku bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah SAW terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas.”

Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata:
“Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?”

Imam al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, “Hadis ini dilihat dari sudut adab dan ilmu". Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut Ghibah. Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah menjelaskan dan mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya.

Kerana Baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru perbuatan Baginda, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya.

Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun seseorang itu tidak disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai.

Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit. Ketegasan Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan).

Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW memohon melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana Rasulullah menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah SAW untuk minta pembelaan atas wanita itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda:
“Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah?"

Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah:
“Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya”.

Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai panduan dan pada masa sama menilai hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan.

Sunday, July 10, 2011

Ini Baru 'Cute'


Definisi cute bagi saya hari ini adalah, bila anda sedang payah untuk senyum, tiba-tiba anda terima mesej sebegini:

"Salam! Abuya & umi sependapat lebih baik blk awal sikit, iaitu sebelah ptg. -La Tahzan! Krn hidup ini lebih singkat dr yg anda jangkakan. Wassalam."

Sangat membuatkan saya rasa ingin tersenyum...=)

Sememangnya saya suka penggunaan bahasa baku. Ia sangat cute lebih-lebih lagi bila orang kesayangan yang menulisnya.

Pernah hantar mesej begini kepada insan kesayangan,

"Ummi, i love you..~"

dan dibalas pendek,

"Tq"

Nampaknya penggunaan bahasa SMS mereka bertambah..kalau dulu panjang dan ditaip satu-satu perkataan, sangat cute.

Hm..kalau gaya menulisnya lain macam, seperti,

"Salam..ni no baru umi yer...abuya register line..sila save yer..:-)"

takpun, ada perkataan 'taw', 'tue', atau 'kew'

Saya terus dapat tahu itu bukan ummi yang menaip, tapi 'assistant' di kalangan adik-beradik yang lain cuba menyamar..hoho

Saturday, July 9, 2011

Zainab Al-Ghazali Al Jubaili

ZAINAB AL-GHAZALI AL-JUBAILI (2 Januari 1917-8 Ogos 2005) telah dilahirkan di Mesir pada tahun 1917. Di kala usia beliau 20 tahun, beliau telah menubuhkan satu organisasi untuk menjaga kebajikan wanita ketika itu: (Jamaat As-Sayyidaat Al-Muslimaat yang berkait rapat dengan Ikhwan Muslim)yang telah menyalurkan banyak pertolongan berharga kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan. Ceramah mingguan beliau di Masjid Ibnu Tulun telah menarik ribuan manusia untuk menghadirinya.

Di samping memberi bantuan pendidikan kepada wanita, organisasi tersebut turut menghasilkan majalah dan membangunkan rumah anak-anak yatim. Di bawah naungan Zainab Al-Ghazali, organisasi tersebut turut melahirkan pendirian politiknya dengan menggesa kerajaan Mesir ketika itu yang diperintah oleh Presiden Jamal 'Abd Al-Nasir supaya Mesir diperintah berlandaskan Al-Qur'an.

Walaupun Zainab Al-Ghazali mempunyai kaitan dengan Sheikh Hasan al-Banna, yang merupakan pengasas Ikhwanul Muslim semenjak penghujung 30-an, dan bergiat aktif dalam banyak program Islamik, beliau hanya menyertai rangkaian tersebut secara rasminya pada tahun 1948. Selepas pembunuhan Hassan al-Banna pada tahun 1949, beliau banyak memainkan peranan dalam pembentukan semula organisasi Ikhwan Muslim.

Beliau pernah ditahan pada tahun 1965 atas tuduhan terlibat dalam satu konspirasi untuk membunuh pemerintah Mesir ketika itu, Jamal 'Abd al-Nasir, sekaligus cuba menggulingkan kerajaan beliau. Selepas itu, beliau diperintahkan untuk menjalani kerja buruh selama 25 tahun sebelum Zainab Al-Ghazali dibebaskan dari penjara pada tahun 1971 sewaktu Anwar Sadat menjadi presiden. Selain bergiat aktif dalam gerakerja dakwah, Zainab al-Ghazali juga merupakan seorang penulis yang prolifik, memberi sumbangan yang berterusan kepada jurnal-jurnal Islamik.

Buku terkini/terakhir beliau ialah dua siri pengkajian tentang Tafsir Al-Qur'an. Manakala "Ayyaam min Hayyati" pula memperihalkan bagaimana beliau telah ditahan dan dipenjarakan secara zalim, atas tuduhan palsu yang mengatakan beliau berkomplot untuk membunuh Jamal 'Abd al-Nasir, Presiden Mesir pada 1965. Ketika menunggu perbicaraan ke atasnya, Zainab Al-Ghazali telah dikenakan pelbagai bentuk siksaan yang mengerikan dan tidak berperikemanusiaan oleh tentera-tentera Jamal 'Abd al-Nasir. Beliau sebaliknya tetap dengan pendiriannya untuk mempertahankan Islam dan mengalami banyak peristiwa ajaib dari ALLAH SWT yang membolehkan beliau terus hidup. Bahkan segala siksaan yang diterimanya semakin menguatkan komitmen serta iltizam beliau untuk memperjuangkan agama Islam yang suci.

Ayah beliau merupakan seorang guru agama bebas dan pengusaha kapas. Beliau bertanggungjawab menggalakkan Zainab untuk menjadi seorang pemimpin Islam dengan menceritakan kisah serikandi Islam seperti Nusaibah binti Ka'ab al-Maziniyah, wanita yang turut sama berjuang bersama baginda Nabi Muhammad S.A.W dalam perang Uhud.

Ketika zaman remajanya, Zainab Al-Ghazali pernah menyertai Persatuan Feminis Mesir untuk satu jangka masa yang singkat dan beranggapan bahawa "Islam memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga, tidak sama seperti mana-mana masyarakat. Wanita mungkin bercakap perihal kebebasan dalam masyarakat Kristian, Yahudi, atau pagan, tetapi dalam masyarakat Islam, ia merupakan satu kesilapan yang nyata untuk terus mempersoalkan kebebasan dan hak asasi mereka." (Hoffman 1985: 235).

Kehidupan peribadi Zainab Al Ghazali sedikit berbeza dengan sesetengah kepercayaannya.(Ahmed 1992: 199) Walaupun beliau pernah mengatakan bahawa ia merupakan satu 'jenayah' bagi seorang wanita untuk meminta perceraian, beliau tidak merahsiakan perbuatannya bercerai dengan suami pertamanya kerana sikap tidak selesa bekas suaminya itu terhadap jalan perjuangan yang dilaluinya. Beliau pernah memberitahu suaminya tentang 'bai'ah' atau janji setianya kepada Hassan al Banna membawa maksud, beliau mengutamakan perjuangan untuk Islam melebihi perkahwinan, dan sekiranya konflik timbul daripada kedua-duanya (perkahwinan atau jihad), beliau akan memilih untuk menoktahkan sebuah perkahwinan.

"If that day comes [when] a clash is apparent between your personal interests and economic activities on the one hand, and my Islamic work on the other, and that I find my married life is standing in the way of Da'wah and the establishment of an Islamic state, then, each of us should go our own way. I cannot ask you today to share with me this struggle, but it is my right on you not to stop me from jihad in the way of Allah. Moreover, you should not ask me about my activities with other Mujahideen, and let trust be full between us. A full trust between a man and a woman, a woman who, at the age of 18, gave her full life to Allah and Da'wah. In the event of any clash between the marriage contract's interest and that of Da'wah, our marriage will end, but Da'wah will always remain rooted in me." (al Ghazali 2006)

Dalam penglibatannya untuk mempertahankan wanita di tengah-tengah masyarakat, Zainab al Ghazali beranggapan keadaannya yang tidak dikurniakan anak sebagai satu "anugerah" yang tidak selalunya diperoleh orang lain, kerana ia membolehkan beliau untuk terus bergiat aktif, mengatur langkah yang lebih panjang dalam penglibatannya di kalangan masyarakat.(Hoffman 1988)

Suami beliau yang dikahwininya selepas itu meninggal dunia semasa Zainab menjalani kehidupannya di penjara, selepas tidak beberapa lama menceraikan Zainab Al-Ghazali akibat diugut pihak kerajaan. Keluarga Zainab al Ghazali ternyata tidak berpuas hati mengenai hal ini, sedang beliau terus mengekalkan kesetiaannya terhadap si suami dengan meminta supaya gambar suami diletakkan kembali di dalam rumah mereka ketika diberitahu ianya telah dipindahkan.

Walaupun pergerakan Islam di seluruh dunia pada hari ini telah berjaya menarik sejumlah besar golongan wanita, terutamanya selepas era 1970-an, Zainab al-Ghazali masih menjadi satu-satunya pemimpin utama wanita yang dicatatkan sejarah.


Wallahua'lam

Bila Seseorang Melamar Kamu...

Bila seseorang melamar kamu (Khas buat mujahid & mujahidah)

Bila seseorang melamar kamu,
Itu tandanya dia telah menerima kamu seadanya
Usah terlalu memikir perkara yang belum pasti
Ambil iktibar dari kisah Siti Khadijah dan Nabi

Nabi dicerca, dihina, dan dihalang
Namun apabila lamaran Khadijah datang,
Nabi menerima dengan hati lapang
Walaupun masalah demi masalah merintang
Mereka bersama-sama cekal berjuang

Bila seseorang melamar kamu,
Maka itu tandanya dia telah bersedia
Dengan segala kemiskinan dan kecacatanmu
Maka lapangkan hati, jernihkan minda

Bila seseorang melamar kamu,
Semua masalah kecil kerana
Allah Maha Besar
dan pernikahan melahir kekuatan
Kerana ianya sendiri adalah jamaah

Bila seseorang melamar kamu,
Segalanya mungkin, benar.
Bila hatimu telah tetap
Cukuplah Allah sebagai penjamin.


"... jika sikap menawarkan diri (perigi cari timba)
dilakukan dengan ketinggian sopan-santun,
tidak akan menimbulkan akibat kecuali yang maslahat.
Seorang lelaki yang memiliki pengetahuan mendalam..
pasti sangat menghormati terhadap mujahadah saudaranya..
Tidak akan merendahkan wanita yang menjaga kehormatannya seperti ini,
kecuali lelaki yang rendah dan tidak memiliki kehormatan...."

Shalat orang yang masih belum menikah memang sulit mencapai kekhusyukan, apalagi memberi bekas dalam akhlak sehari-hari. Barangkali itu sebabnya Rasulullah Muhammad Saw. menyatakan, “Shalat dua rakaat yang didirikan oleh orang yang
menikah lebih baik dari shalat malam dan berpuasa pada siang harinya yang dilakukan oleh seorang lelaki bujangan.



p/s-ditujukan kepada mereka yang meniatkan pernikahan SEMATA-MATA kerana ALLAH. Moga kalian bahagia~

Friday, July 8, 2011

Tutup Aurat, Sayang..

(sila klik pada gambar untuk besarkan)

Beberapa kesalahan yang menyebabkan aurat tidak ditutup sempurna:

1. Kain yang dipakai terlalu singkat
2. Tudung tidak menutupi dada
3. Lengan pendek
4. Tidak bersarung kaki
5. Pakaian ketat dan menampakkan susuk tubuh
6. Solekan yang jelas dilihat (lipstick dan lain-lain)
7. Baju singkat
8. Kain terbelah di depan


(Klik pada gambar untuk besarkan)


Kenapa kena tutup aurat???

Kerana ia perintah Allah dalam surat cinta-Nya kepada kita,

Surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud:

"Hendaklah mereka menghulurkan tudung ke seluruh tubuh mereka, supaya mereka lebih mudah dikenali orang, kerana itu mereka tidak diganggu."


p/s-Tutuplah aurat sebelum auratmu ditutup dengan kain warna putih..
p/s/s-Biar kita selekeh di dunia dari selekeh di akhirat~

Tuesday, July 5, 2011

The World Needs More Positive People


Moral of the story:

1. Do not become so irritated of people who can speak English just because you don't.
2. Do not easily judge people by its cover. Perhaps they are about to change into better persons.
3. When you see a 'gemok' or 'kurus' people, 'cermin' yourself first. You are not perfect either.
4. Person who put low 'hantaran' is following the sunnah and 'ukur baju di badan sendiri'..who knows...(Well typical Malay people are always stick to those irrelevant adat)
5. You and I need to think positive..well, that's in our religion's taught already..


~^_^~

Hakikat.




Bayangkan anda sedang berjalan-jalan berhampiran kaunter alat solek. Tiba-tiba lengan anda ditarik oleh seorang jurusolek. Dia terus mendudukkan anda, dan tanpa membuang masa 'menyapu' muka anda dengan warna-warna yang difikirkannya sesuai dan cantik untuk anda. Seminit kemudian, anda sudah bertukar wajah! Cantik sekali! Ramai yang memuji-muji kecantikan anda. Anda pun tersenyum simpul dan mula merasa bangga dengan pujian yang diberikan. Tetapi sebaliknya, anda tahu jika anda tidak bersolek, tiada siapa yang pedulikan anda.

Begitu juga dengan lelaki. Anda memakai pakaian yang segak, bergaya dengan fesyen rambut terkini. Ramai yang memuji-muji akan gaya anda. Hatta jam tangan yang dipakai pun, anda turut tak lepas memikirkan yang mana paling cool untuk dipakai.

Semua yang saya sebutkan tadi, sebenarnya untuk kepuasan siapa? Diri sendiri atau orang lain? Pernah atau tidak kita fikirkan apa yang kita lakukan itu untuk memuaskan kehendak Dia? Contohnya anda bangun tidur hari ini. Pernah atau tidak anda bertanya kepada diri anda, apa yang Tuhan mahu aku lakukan pada hari ini? Waktu kecil dahulu, saya sering bertanya kenapa saya diciptakan. Terdedah kepada bacaan mengenai hari akhirat sejak usia kecil menjadikan saya mula berfikir seusia saya lapan tahun, kalau ianya adalah lebih baik jika saya tidak menjadi manusia yang akan dihisab di hari akhirat. Waktu itu hati saya berkata, saya lebih rela menjadi angin, asap atau apa-apa sahaja yang tidak dihisab dan tidak dimasukkan ke neraka. Hari ini saya masih bertanya soalan yang sama, cuma berbeza cara bertanya; apa yang Allah ingin aku lakukan sebenarnya? Apa yang Allah mahukan dari aku sehingga Dia menciptakan aku? Namun saya sedar bahawa Allah tidak memerlukan apa-apa dari saya bahkan sayalah yang perlukan Dia. Sungguh Allah pencipta yang sangat mencintai ciptaannya, justeru didatangkan Islam sebagai petunjuk.

Jika diikutkan, umur manusia itu sendiri pendek sebenarnya. Bermula kita mencelikkan mata dari tidur, sehingga kita memejamkan kembali mata kita. Antara tempoh itu, bila-bila masa sahaja Tuhan boleh tarik balik nyawa kita. Setiap hari, apa yang kita lihat, kita dengar, dan kita baca menjadi makanan rohani kita. Kenapa saya kata begitu? Lihat sahajalah pengaruh televisyen dan suratkhabar serta internet kepada pemuda pemudi hari ini. Tiada satu pun yang betul-betul dapat membina sahsiah diri manusia yang sebenar. Mereka menayangkan kepada kita akan kehidupan yang 'ideal', wanita yang 'ideal', lelaki yang 'ideal', tapi sebenarnya 'ideal' mengikut lunas-lunas barat semata-mata. Seseorang wanita yang cantik itu mesti berpakaian begini, begini..dan seorang lelaki yang kacak itu mesti begini, begini. Setiap hari kita dihidangkan dengan benda yang sama. Akhirnya minda masyarakat di'set'kan bahawa kalau cantik dan kacak dan ideal itu kena ikut apa yang ditayang di TV, walhal semua itu rekaan dan diprogram semata-mata.

Walhal, Islam adalah cara hidup yang sebenarnya. Islam itu sudah cukup untuk satu kehidupan yang ideal, dunia dan akhirat. Tetapi masyarakat jadi punah bila idea barat yang lebih mengikut akal dan nafsu manusia yang diikuti. Pernah atau tidak anda terfikir, ketika anda mati kelak, banyak mana amalan yang anda akan bawa? Jika ia banyak namun dilakukan dengan riak (nauzubillah), ia hanya umpama debu. Kosong. Jadi siapa lagi yang dapat membantu anda jika lihat di sekeliling; abang , kakak, adik semuanya seolah-olah tiada persediaan untuk menuju mati yang sempurna. Hidup hanya untuk diri masing-masing. Celik mata, mencari makanan untuk perut, bersembang dengan kawan-kawan, belajar, bekerja, pejam mata kembali. Begitulah seterusnya. Tidakkah terlalu singkat rasanya kehidupan seperti itu?

Namun, jika kehidupan ini diniatkan bukan semata-mata untuk diri sendiri dan dunia, insyaALLAH kehidupan akan terasa panjang. Panjang kerana di akhirat kelak kita akan dihidupkan kembali. Dan bekalan amalan kita di dunia inilah yang akan membantu kita ketika itu. Saham amalan jika diterima Allah, akan membantu kita. Jika diniatkan setiap apa yang dilakukan itu untuk menjaga hablumminallah wa hablumminannas seperti yang diajar Rasulullah SAW, terasa hidup ini sangat bermakna. Hablun atau tali ini boleh dilihat dalam surah Ali Imran ayat 103 dan ayat 112. Tali dengan Allah bermaksud apa yang mengikat manusia dengan Allah. Tali dengan manusia pula ialah apa yang mengikat manusia sesama manusia. Yang mengikat manusia dengan Allah sudah tentulah aqidah dan keimanannya. Setakat mana keimanan seseorang itu sudah tentu mempengaruhi pula ibadahnya. Yang mengikat manusia dengan manusia pula ialah perhubungan samada muamalat dalam jual-beli, munakahat (pernikahan), jinayat , siasah, dan lain-lain.

Analogi yang mula-mula saya nukilkan di atas juga saya tujukan kepada diri saya dan kalian. Anda mencantikkan 'wajah' blog anda dan apa-apa yang anda post di blog atau facebook, kemudian berasa puas dengan keputusannya. Blog anda nampak cantik dan menarik. Kata-kata di facebook juga tak kurang ramai yang suka. Tetapi pernahkah anda menyoal kembali diri anda untuk apa semua itu dilakukan? Adakah untuk mendapatkan pujian manusia? Atau mengharapkan Allah suka? Alhamdulillah, jika anda cuma ingin Allah suka pada anda yang berniat untuk membantu manusia lainnya. Juga berniat untuk menyebarkan kebenaran yang Allah suka.

Seperti yang saya katakan tadi, kita hidup bukan semata-mata untuk kesenangan di atas muka bumi ini sahaja. Justeru setiap ruang yang dapat memberi kita saham di akhirat pasti akan kita rebut jika kita mengetahui hakikat kehidupan dunia ini.

"Yang penting, ikhlas."
Itu ayat yang biasa kedengaran, apabila manusia hendak menjustifikasikan tindakan. Sedangkan, ramai manusia tidak tahu, ikhlas itu tidak bermakna sekiranya tindakan tidak berada dalam lingkungan syara'.
Sepatutnya, "Yang penting, syara'"
Tidakkah ini masanya kita merubah minda dan jiwa kita? -Bro Hilal

Sunday, July 3, 2011

Sahabat.

gambar hiasan


Persahabatan. Antara perempuan dengan lelaki, persahabatan memberikan definisi yang tersendiri. Dalam ruang lingkup kaum hawa, persahabatan ibarat satu keperluan hidup yang sangat penting. Ianya perlu dijaga dengan teliti. Adakala kesilapan yang dilakukan terlalu kecil untuk dipersoalkan. Namun hakikat persahabatan sebegini membuatkan wanita lebih berhati-hati dan kenal mana kawan dan mana lawan. Berbeza dengan kaum lelaki, umpama kebiasaan andai gurauan mereka sesuatu yang lucu, tapi tajam maksudnya kepada sang teman.

Hidup terkadang memerlukan persahabatan. Walaupun sesetengah manusia jelas berkelakuan seolah mereka tidak menginginkan persahabatan. Perkataan 'sahabat' mungkin terlalu jelak pada pendengaran mereka. Mereka salah? Tidak. Mereka tidak sekali-kali salah. Perasaan itu hadir lantaran persekitaran yang mempengaruhi. Mungkin mereka pernah dikecewakan atau dikhianati manusia yang mereka sudah anggap sebagai sahabat sejati. Kasihan manusia yang pada awalnya berhati bersih tentang persahabatan ini. Namun sedarkah mereka akan hakikat di sebalik kebencian terhadap perkataan sahabat itu? Allah menguji tahap kesabaran dan keimanan mereka.

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" - Surah Al-Baqarah ayat 45

"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir." - Surah Yusuf ayat 12

"..Allah menyukai orang-orang yang sabar." (QS. Ali Imran : 146).

Setiap orang melalui jalan yang berlainan dalam menemukan sahabat. Ramai orang menjumpai kawan, akan tetapi sedikit orang yang dikurniakan sahabat dalam hidupnya. Bahkan masih ramai yang masih tercari-cari sahabat terbaik untuknya, walaupun mereka tahu mereka tidak mungkin menemukannya di sekeliling mereka, justeru berfikir-fikir untuk keluar dari kepompong kehidupan yang dilalui sehari-hari.

Peritnya jalan mencari seorang sahabat sejati, justeru tidak ramai yang kisahkan tentang sahabat atau teman, kawan atau rakan ini. Mana-mana manusia yang sudi berkawan, terima sajalah, kerana itu sendiri membuka jalan ke arah kehadiran seorang sahabat. Namun tak kurang yang terpengaruh oleh kawan yang dipilih. Kerana akan ada kawan yang kemudiannya menjadi teman. Begitulah fitrahnya.

Memang tidak harus dinafikan pengaruh sahabat dan kawan dalam kehidupan seharian. Remaja umpama kain yang sudah sedia bercorak. Terpulang pada mereka sendiri untuk terus mencorakkan diri mereka dengan corak batik, zig-zag, simple, konservatif, moden, ataupun bebas. Sesuatu keputusan itu biasanya didorong oleh keinginan hati--kebiasaan para remaja. Apabila sampai usia mereka menuju alam kedewasaan, ada yang akan mengeluh dengan apa yang dicapai mereka. Sedikit yang akan memeriksa kembali diri mereka--apa yang telah dicapai dan apa yang telah mencorakkan mereka, supaya mereka dapat kembali menyumbangkan sesuatu untuk hidup ini.(biasanya dengan pertolongan orang sekeliling, yang kebanyakannya merupakan teman atau sahabat, kawan atau kenalan)

Akhir kalam, sedikit renungan mengenai dunia persahabatan dari hamba-Nya yang fakir ini;

1.Bersahabat kerana-Nya

2.Menerima kekurangan sahabat

3. Membenci perbuatan mungkar kawan, (bukan diri mereka) sambil berusaha menyedarkan mereka dengan cara termampu

Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a, khadam Rasulullah saw, daripada nabi saw, baginda bersabda

"Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."

(Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim.)

Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh (di akhirat) bagi sebagian yang lain KECUALI orang-orang yang BERTAKWA (QS. Zukhruf:67)

Apa-apa kekurangan, harap dimaafkan.Wallahua'lam.~

Niqab?

[Entri tiada gambar hiasan]

Ramai orang tahu apa itu niqab. Bahasa popularnya dahulu adalah purdah. Antara bahasa yang kurang popular adalah cadar. Tapi saya memang tak pakai la perkataan cadar ni. Sebab cadar saya guna untuk kain yang menyelimuti katil. Tapi itu saya la ya. Saya selalu sebut niqab atau purdah sahaja.

Niqab ni, selepas saya baca dan kaji sikit, pengakhiran terhadap hukumnya ada dua. Yakni harus pakai, dan wajib pakai (mngikut apa yang saya baca, pemakaian purdah ni adalah wajib brdsarkn fatwa Imam Syafie) . Namun majoriti ulama’ berada di pihak harus pakai. Hanya kebanyakan ulama’ Arab Saudi sahaja yang mewajibkan, itu pun ada antara ulama’ saudi seperti Sheikh Nasiruddin Al-Bani menyatakan tidak wajib.

Saya bukan nak bahas fasal hukum. Saya cuma nak menyampaikan sesuatu berkenaan hal niqab.

Ini cetusan daripada sahabat saya di Jordan ini. Bermula dengan pertanyaan:

“Hilal, orang pakai niqab ni sebab tak mahu jadi fitnah. Jadi apa pandangan enta terhadap orang yang pakai niqab, tapi pergi tangkap gambar sendiri lepas tu letak kat facebook, friendster untuk tayangan ramai?”


Rasa aneh

Bicara sahabat saya tadi mengetuk minda saya. Benar, saya perasan akan situasi yang dia ceritakan itu. Ramai aje kalau saya melompat-lompat facebook atau friendster, hatta blog dan website pun, kelihatan gambar orang berniqab tapi kemudian tangkap gambar sendiri(gaya macam-macam la kan).

Kenapa buat begitu?

Saya rasa aneh.


Tujuan pemakaian niqab, sama ada wajib atau harus, adalah untuk mengelakkan fitnah. Kalau dalam hukum wajib, niqab dipakai kerana perempuan itu menjadi sumber ujian kepada lelaki dan untuk memuliakan serta menjaga perempuan itu sendiri. Kalau hukum harus pula, niqab dipakai kerana mengelakkan fitnah kepada diri dan orang sekeliling. Contohnya kalau dia terlalu cantik, maka dia perlu memakai purdah agar kurang sedikit perhatian orang kepadanya. Ditakuti, perhatian orang itu akan menimbulkan fitnah.

Tapi, kenapa tangan gambar dengan pelbagai aksi dan angle kalau tujuan memakai niqabnya adalah seperti tadi? Kemudian letak pula di tempat yang menjadi tontotan ramai?

Saya rasa aneh.


Kenapa pakai niqab?

Saya tidak mahu bergerak jauh dalam perbahasan yang orang putih kata complicated. Saya tak suka macam itu. Maka saya senang mengajak wanita-wanita yang memakai niqab, yang berhajat memakai niqab untuk muhasabah kembali niat mereka memakai niqab itu sendiri.

Kenapa pakai niqab?

Jika nak dapat redha Ilahi, jika hendak menjaga diri dari fitnah, apakah pantas kita menangkap gambar dan meletakkanya di web sosial untuk tontonan umum?

Melainkan, kalau kita pakai niqab ini, tujuannya agar nak orang puji kita ini beriman tinggi sebab mampu pakai niqab, tujuannya nak orang beri perhatian pada kita sebab kita ni pakai niqab, tujuannya agar ada orang tertarik dengan kita sebab orang pakai niqab ni selalunya orang claim sebagai solehah.

Kenapa pakai niqab?

Ini titik permulaan sebenarnya, yang kita kena lihat semula.

Atas dasar apa kita memakai niqab?

Ikut-ikut? Tuntutan? Kepopularan? Hendakkan perhatian? Kewajipan?


Imej

Kenapa saya tergerak memanjangkan hal ini di dalam website?

Kerana imej Islam sedang terlekat pada orang yang memakai niqab, lebih berat dari orang lain. Ya lah, apabila memakai niqab, orang akan kata kita ni beriman kuat, thiqah, sungguh-sungguh amal Islam. Itu pandangan kebiasaan orang.

Justeru, apabila kita dipandang sedemikian rupa, kemudian kita pula melakukan sesuatu yang diluar pandangan orang itu, maka pastinya akan menimbulkan fitnah kepada Islam.

“Ish, ada patut dia buat camtu? Dia dah la pakai niqab”

“Pakai niqab, tapi sembang dengan lelaki macam biasa aje”

“Pakai niqab pun nak tangkap gambar lebih-lebih ke?”

Orang akan perhatikan dari segenap penjuru. Kita boleh kata dengan mudah: “Saya pun manusia” Tapi pada saya, bukan semua akan mendengar alasan itu. Mereka yang tidak faham Islam, akan memandang buruk Islam hanya kerana sikap pemakai niqab.

Tujuan niqab adalah untuk menutup fitnah, tapi kita dengan niqab, membuka fitnah baru yang lebih buruk.

Sebab itu, balik semula kepada niat tadi.

Kenapa pakai niqab? Dari niat inilah kita berusaha menetapkan diri kita sebenarnya. Barangsiapa yang niat hijrahnya kepada Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya akan bergerak kepada Allah dan rasul-Nya.


Pakai, pakai dengan serius

Artikel ni, bukan suruh tanggal niqab ya. Cuma saya mengajak mereka yang memakai niqab, mereka yang berhajat memakai niqab, agar memakainya dengan kefahaman, dengan penuh keseriusan.

Jangan jadikan Niqab ini fesyen.

“Orang solehah dia pakai niqab”

“Orang dakwah-dakwah ni, kena pakai niqab”

Tidak. Jangan begitu. Kalau kamu pakai niqab kerana itu, maka niqab kamu sudah menjadi fesyen, bukan lagi kerana mendapat redha Allah, bukan lagi kerana ingin menutup fitnah. Niqab kamu nanti hanya sekadar menjadi – trend orang dakwah. Kenapa pakai? Sebab kalau nak berdakwah, kena pakai niqab baru nampak macam pendakwah.

Jangan.

Tak pakai niqab bukannya tak solehah. Saya agak terkilan dengan sebahagian orang yang memakai niqab, memandang rendah mereka yang tidak memakai niqab. Tak pakai niqab juga, bukanlah tidak boleh berdakwah dan berada atas jalan tarbiyah. Sejak bila, niqab menjadi lesen untuk semua itu?

Bagi yang memakai niqab, teruskan dan perbaiki peribadi kamu. Kamu menjadi pandangan dan perhatian manusia lain. Ada yang ingin menghina, maka kamu jagalah diri dari hinaan kamu. Ada yang ingin mencontohi, maka kamu usahakan agar mereka contohi kamu. Ada yang ingin menghargai, mempercayai, maka kamu jangan khianati penghargaan dan kepercayaan mereka.

Seriuslah kalau benar niatnya untuk menjaga diri dari fitnah, mendapat mardhatillah. Jaga diri, jaga akhlak, jangan melakukan perkara yang terang menimbulkan fitnah. Sememangnya adat orang yang mengamalkan sesuatu yang ghuraba’, dia akan diperhatikan dan musuh menanti-nanti celahan yang boleh membuatkan dia jatuh. Lebih buruk lagi, kejatuhannya memburukkan pula Islam.

Maka, pakailah dengan serius.

Saya ulang, dengan serius. Bukan sebab main-main, bukan sebab ikut, bukan sebab trend, bukan sebab fesyen.


Penutup: Sama-sama islah diri sebenarnya

Artikel ini, bukanlah nak kata perempuan yang tak pakai niqab tu tak payah jaga diri, boleh siar gambar macam-macam angle dan melakukan apa yang saya kata pada pemakai niqab tadi tak patut buat.

Sama sahaja tuntutan yang tak pakai niqab dengan yang pakai niqab. Cuma kenapa saya tekankan hal ini kepada yang berniqab? Adalah kerana orang yang pakai niqab ni, orang pandang lebih, orang ingat iman mereka tinggi, orang rasa mereka faham agama banyak. Jadi bila mereka buat something yang tak kena dengan Islam, orang akan salahkan Islam.

Bagi yang tak pakai niqab, saya tak suruh anda pakai niqab kalau tak perlu.Tapi kalau anda nak pakai, itu terpulang kepada anda. Cuma kalau nak pakai, perhatikan niat, pakai dengan serius. Dan bukanlah kalau anda tidak memakai niqab, bermakna anda boleh buat sesuka hati sahaja.

Semua perempuan kena jaga diri, kena pelihara diri, kena sayang dengan kebersihan diri sendiri.

Saya, sebagai lelaki, memandang perempuan dengan pandangan yang tinggi, anda isteri saya, anda ibu saya, anda kakak saya, anda adik perempuan saya, anda anak perempuan saya, anda sepupu perempuan saya, anda nenek saya, anda makcik saya.

Siapa yang tidak suka akan keluarga yang bersih, terpelihara, serta mendapat redha Allah SWT?

Sama-samalah kita menjaga diri kita.

Anda dan saya. Perempuan dan lelaki.

Sama-sama kita perbaiki diri kita.


p/s-Nauzubillahiminzalik..orang beriman pasti akan terdetik di hatinya akan perkara syubhah.

p/s/s-artikel Hilal ni dah lama tapi baru jumpa..dan menjawab mengenai pendirian saya sendiri tentang purdah. Manisnya seorang niqabi kerana boleh memilih siapa yang dapat melihat wajahnya. Namun jangan pula ditayang matanya yang cantik itu sebarangan. Usahkan kata lelaki, wanita pun boleh tercari-cari siapa gerangan si misteri. Renung-renungkan dan selamat beramal!