Tuesday, December 8, 2015

Kaya atau Miskin?

Assalamualaikum wbt.

Pernah tak jumpa manusia yang mengerling kedengkian pada kesenangan orang lain?
Pernah tak terlintas dalam hati untuk berperasaan seperti itu?
Jika pernah, beristighfar selalu. Entri kali ini untuk meluahkan sedikit kekecewaan dengan manusia yang terlampau negatif dengan orang yang lebih darinya. Jangan bimbang, ia tiada kaitan dengan MLM dan yang sama waktu dengannya, yang sememangnya diharamkan.

---Dan sebagai manusia, kita tak akan terlepas dari diuji.-----

Apapun, seperti dapat meneka sebahagian manusia, yang wajahnya keruh tatkala melihat kelebihan manusia lain, hatta insan terdekat dengannya, lalu bibirnya berkata-kata; untungnya menjadi manusia itu, yang hidupnya tak perlu bersusah-payah.

Tanpa sedar, dia itu cuma adalah secebis bahagian dari semua bahagian yang telah dilalui manusia yang menjadi punca kedengkiannya.

Bahagian masam, payau, perit, ngilu, luluh, sedih, retak, perit manusia itu tidak pernah difikir atau mahu diambil kiranya.

Lantas, yang dilihat cuma getus hatinya; pada betapa tidak adilnya hidup ini, yang baginya cuma dia menderita. Cuma dia miskin harta. Dari kecil hingga ke dewasa, yang tiada sudah-sudahnya.

Jelas, dia mahu semua manusia sepertinya. Merasai perit bergelar miskin dulu. Biar orang itu tahu rasa terperosok dalam mukim sendiri. Merasai tiada insan sudi menghampiri.

Tapi dia tidak tahu, bahawa manusia itu, dahulunya pun sama sahaja. Cuma rasa dengki itu dikesampingkan dari jiwa.  Kerana dengki itu sama sekali pemusnah rasa.

Jadi miskin? Tidak miskin jika tiada hutang. Lebih-lebih lagi hutang dengan beban kejiwaan yang akan dipikulnya.

Miskin yang kaya--yang tidak sampai terlintas di hatinya mahu orang-orang yang tidak bersalah terperosok dalam dunianya. Kerana betapa dia terlebih dahulu mengetahui racau kehidupan dalam dunia lalunya.

Namun manusia sekarang--lebih sekali mahu mengheret manusia lain yang difikirkan dan dilihat dengan mata kasarnya 'sempurna', untuk terjun turun ke lembah kecewa sepertinya. Alangkah.

Memandang ke sebelah kanan; rumah agam, kereta mewah, pakaian indah, makanan lazat. Dan memikir diri sendiri (ya, pentingkan diri sendiri!); mula dikejar bayangan hodoh kehidupan lalu. Akhirnya memikirkan diri sendiri. (lagi). Menyesal.

Mula memikirkan kiranya setiap manusia sama sepertinya. Bahkan tidak! Manusia itu sungguh
berlainan segala adanya. Lantas diri terperuk sendiri, mula merasa perlu bersendiri. Akhirnya meninggalkan segala yang dirasa tidak 'sesuai' dengan diri; lantaran diri sudah tidak boleh berbuat apa-apa, fikirnya. Kerana manusia yang senang itu padanya, penuh dengan kejengkelan, kepalsuan, kerendahan minda, apatah lagi ibadah rintihnya.

-----alas, yang memandang bahawa yang 'senang' itu sama sekali tiada baiknya, silakan dengan fikiran begitu. Asalkan tidak memusnahkan kehidupan sesiapa. Tidak meronyokkan kisah hidup sesiapa.-----

Akhirnya dalam hati tanpa ilmu, diri sendiri lebih tahu.

Padahal sebenarnya pupus hilang keyakinan jitu naluri sendiri, apatah lagi pada mengajak manusia lainnya, untuk berjuang.

Buat selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment