Saturday, August 4, 2012


Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, bulan lalu sempat jaulah dakwah ke Sabah, bumi Borneo di bawah bayu. Dan entri kali ini tentunya melunaskan 'hutang' berkongsi pengalaman dakwah di sana bersama NGO An-Nasru Team. Entri kali ini, saya dedikasi buat teman-teman yang sedang:

-bertungkus lumus memastikan arah hidupnya bermanfaat
-sudi memberi sumbangan walau biaya hidupnya cukup-cukup makan
-kelebihan itu dilihat lebih berbanding kekurangan insan lain
-yang sabar dan cekal menyebar faham dan kebaikan, menempuh ujian hidup.

sekadar catatan perjalanan yang ringkas. :)

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

9 Julai 2012:

Seminggu selepas menerima mesej bahawa trip dakwahku kali ini ditunda, hidup diteruskan seperti biasa. Menghadiri pertemuan dengan sahabat-sahabat sefikrah, bermesyuarat, berprogram kebajikan sementara menunggu kemasukan kerja tentunya. Namun petang 9 Julai itu deringan telefon daripada ustaz Husni ketika aku sedang bermesyuarat membuatkan hati jadi gelisah. 'Ish, takkanlah kot.' Aku sengaja membiarkan dulu telefon bergetar mod silent. Selesai mesyuarat, baru aku bertanya pada Ustaz. Itupun setelah digesa juga oleh kakakku yang namanya sepatutnya dimasukkan sekali untuk trip yang kusangka kan tidak jadi itu. Kuasa Allah, memberi pengajaran dan hikmah dengan cara-Nya. Beginilah agaknya yang harus aku fahami apabila sudah di lapangan sebenar. Setiap tindakan yang tidak diperhalusi akhirnya memaksa diri untuk berlapang dada dengan setiap natijah. Apalagi aku terus meminta izin Ummi untuk mencari tiket ke KL malam itu juga. Di dalam kepalaku membayangkan, bagaimana keadaan kami sepanjang lima hari di sana. Tentunya, aku akan bermalam di perkampungan orang kampung di Pedalaman Sabah, tidur di rumah keluarga angkat paling kurang, fikirku. Terbayang-bayang bakal menempuh pengalaman seperti ketiadaan air atau terpaksa berselut di daerah sana. Maka, beg yang ku bawa penuh diisi dengan baju-baju T-shirt dan seluar trek. Tudung juga kupilih dari jenis yang senang dipakai dan tak perlu diseterika. Mudah ! Warna? Hampir tiada yang menyejukkan pandangan mata dari sudut kepadanannya. Kalau lah perunding imejku ikut bersama waktu itu...entah la. :)

10 Julai 2012

Sampai di KL. Petang selepas Zohor aku ke KLIA menaiki KLIA Ekspres. RM35 sehala. Terkejut sebab agak mahal, namun disebabkan tiada pengalaman, terus sahaja diredah perjalanan tengahari itu. Melewar di sekitar lobi KLIA setelah sampai di sana. Tiada apa yang menarik. Semuanya mahal. Mungkin standard kepada pelancong asing. Benarlah kata orang, kalau nak pergi berjalan jauh, moleklah bila berduit, barulah lepas. Tapi disebabkan memikirkan misi kali ini bukanlah pergi untuk berseronok-seronok, lagipun hampir perbelanjaan penuh kami ditanggung oleh pihak lain, seakan tiada masa untuk berfikir akan keseronokan diri sendiri. Apatah lagi belum ada sesuatu imbalan yang dapat difikirkan untuk diberi kepada mereka di sana.

Menaiki penerbangan pada pukul 8pm. Ianya pengalaman pertamaku. Penerbangan yang selesa, dengan kapten kapal yang sempat mengingatkan anak kapal dan penumpang akan Allah sebelum dan selepasnya. Cuma pembantu kabin yang kadang-kadang menjadi gangguan juga dengan pakaian ketat di tengah sejuk kapal dan khalayak. Tiba di Sabah sekitar 10.30pm dengan disambut oleh mereka di Sabah. Rupanya ekspedisi dakwahku kali ini disertai juga oleh Gamis dan PSS. Berkenalan dengan mereka di Sabah.

Melawat ke Pedalaman Sabah (11-13 Julai)

Kali ini kami lebih banyak menghabiskan masa di dalam perjalanan, bukan seperti mana yang ku fikirkan sebelum menyertainya. Tiada penginapan yang tidak selesa, bahkan peserta ekspedisi dijaga kebajikannya. Cukup semuanya. Tidur di homestay yang selesa, bukan di rumah tempatan. Melawat ke pedalaman Sabah dengan pacuan empat roda. Bercerita perihal penduduk kampung dan sejarah serta apa yang menimpa akidah mereka teramatlah menyedihkanku sebagai seorang Islam. Hampir sekampung murtad, berpaling dari agama Allah dan tinggallah satu keluarga sahaja yang masih teguh dengan Islam. Jika anda ke Sabah, perhatikanlah, sesungguhnya dan sememangnya gereja-gereja lebih banyak daripada masjid atau surau. Bahkan setiap dua ratus meter perjalanan masuk ke lereng gunung Kinabalu atau kawasan pedalaman, anda akan terlihat papan tanda gereja! Sangat sukar untuk menemui papan tanda surau atau masjid. Kalaupun ada, masjid dan surau yang ada sangat daif, sukar untuk menemui masjid yang hidup. Sempat juga hati ini terisi dengan kuliah forum dan tazkirah di Masjid Nur Hikmah oleh Ustaz Husni, Ustaz Fairuz dan Ustaz Zulfikar yang menjadi 'tourist guide' kami.

Kami sempat memberikan bantuan kepada penduduk kampung Kawang-Kawang. Kebanyakan yang hadir adalah dari kalangan warga emas. Kunjungan kami ke Kampung Sambah yang memerlukan kami menaiki bot selama 15minit untuk sampai ke sana juga tidak akan dilupakan. Hairannya, kami pula yang dirai dan disajikan dengan bermacam lauk pauk. Malu pula rasa diri ini yang sepatutnya berbakti sesuatu dari sekadar menerima. Sambal ketam, udang dihidang oleh ibu angkat trip ekspedisi dakwah sebelum ini kepada kami. Sempat menghulurkan sumbangan kecil kami kepada anak-anak di sana sebelum pulang.

14-15 Julai 2012

Hari terakhir, kami dijamu dengan lokan bakar, kelapa bakar, dan jelly kelapa yang jarang ditemui. Memang sedap, alhamdulillah. Mata pencarian sebahagian mereka di Sabah. Aku perhatikan berderetan gerai lokan bakar dan kelapa jelly. Sebelum bertolak pulang ke Semenanjung, sempat singgah di Tanjung Aru menikmati keindahan panorama pantai Sabah dan pemandangan Pulau Gaya dari kejauhan pesisir pantai.

Meninggalkan bumi Sabah, di penghujung Syaaban, moga ia menjadi bekalan tarbiyah sepanjang Ramadhanku. Belum terlewat. Moga ada yang bakal menjadi ustaz atau ustazah buat komuniti mereka, insyaAllah. Salam Ramadhan Kareem :)




Ini dia tiketnya








movie watcher and remote for taxi?

meredah samudera
Kinabalu Peak





pencahayaan agung?




Kampung Paus






Makanan Sabah?









Pitas



SMK Pitas 2
SMK Pinggan-Pinggan

Masjid Kota Belud

Ke Kampung Sambah

Pemandangan sebelum pulang ke Semenanjung..di bawah itu Pulau Gaya


Wassalam. :)

:: rabiatul adawiyah's :: . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates