Monday, July 9, 2012


Alhamdulillah, selesai menghabiskan bacaan 'Muhammad Bukan Nasionalis', karya TGNA dan Ustaz Azrul Hakim. Mula-mula baca, sangkaan saya ia akan dipenuhi anekdot politik tanah air sebagai ruang utama pemetaan buku ini. Meleset sama sekali, buku ini dipenuhi dengan sirah nabawiyyah dan bagaimana dakwah Muhammad SAW banyak mencorakkan pemerintahan dan kesyumulan Islam yang dibawa nabi merentasi sempadan politik, agama, dan bangsa. Di tengah-tengah pembacaan agak 'monotonous' kerana kurang informasi tetapi banyak kupasan yang berulangkali mengenai dakwah Muhammad SAW. Akhir pembacaan berjaya menarik minat saya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah sahabat-sahabat Nabi SAW dan juga tokoh-tokoh ilmuwan bukan Islam yang melakarkan sumbangan kepada Islam melalui pemahaman dan penghargaan mereka terhadap agama Islam.

^^ "Dalam Islam ada banyak pembelajaran, tetapi menurut hemat saya, pembelajaran teragung dalam Islam adalah prinsip kesetaraan antara sesama manusia. Inilah realiti kebenaran yang tidak ternafikan dalam agama ini. Seorang Muslim adalah saudara bagi seluruh Muslim di setiap penjuru dunia. Seorang Muslim walau apapun latar belakangnya adalah setara dengan Muslim lain. Manusia dalam ajaran Islam adalah sama dan tidak ada beza antara satu dengan lain." -Thomas Carlyle (Ahli falsafah, sejarawan, dan sasterawan Inggeri, Ilmuwan utama di abad ke-19 M)

^^ "Jejak kehidupan Rasulullah SAW dan para pengikutnya, adalah kitab kehidupan yang dengan itu, generasi masa kini dapat belajar bagaimana mengorganisasikan seluruh kehidupan dengan rapi. Keperibadian baginda yang luhur, sikapnya yang adil dan kebijakannya, semua itu memotivasikan para pengikutnya untuk tetap teguh di jalan kebenaran. Para pengikut agama ini beriman sepenuh hati kepada risalah Islam. Agama ini bukan sahaja mengatur sistem kehidupan antara sesama Muslim, tetapi juga kehidupan bersama bukan Muslim. Semuanya diatur dengan jelas dalam bingkai toleransi yang utuh. Agama ini mengorganisasikan seluruh kehidupan insan."-Arnold Toynbee (Sejarawan kelahiran London, Prof kajian Yunani kuno & Byzantium di Universiti London, Ketua Kajian Keilmuan di Kementerian Luar Negeri Britain)

^^ "Antara keunggulan Islam adalah agama ini mengajarkan kehidupan penuh kasih sayang. Islam menjanjikan syurga dengan segala kenikmatannya bagi mereka yang beriman dengan tidak membeza-bezakan pemeluknya. Mereka yang meninggal dunia dalam peperangan membela Islam disebut syahid (meninggal dunia di jalan Allah dan dijamin masuk syurga). Orang yang membaca dan mendengar al-Qur'an sama-sama mendapatkan pahala daripada Allah. Manusia yang miskin mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah serta nasib mereka oleh ajaran Islam. Manusia yang kaya mendapat darjat luhur apabila membelanjakan dan menyedekahkan hartanya di jalan Allah." -Henry de Castrie (Pemikir dan penulis utama Kristian berbangsa Perancis, salah seorang tentera Perancis di negeri Aljazair, antara karya hebatnya adalah L'Islam Impressions et Etudes (Islam Bisikan Hati yang Jujur)).

^^ "Syariat Islam adalah tata laksana kehidupan yang menerangkan. Ia adalah pedoman asas kehidupan kaum Muslim. Tiada satu pun ajaran moral al-Qur'an yang bertolak belakang dengan nilai-nilai luhur kehidupan. Tiada satu pun sistem kehidupan yang diajarkan al-Qur'an bertolak belakang dengan tata laksana kehidupan luhur insan. Syariat Islam sentiasa utuh dan tidak ada perubahan sehingga akhir zaman."- Jaque Risler (orientalis & penulis Perancis kontemporari, Prof di Pusat Kajian Islam Paris, karya hebatnya,'La Civilisation Arabe' (Peradaban Arab)).

^^ "Al-Qur'an memiliki pesona yang sangat mengagumkan. Ia dapat menarik hati seluruh penduduk Arab yang menyemaknya. Ia laksana sihir yang mampu mempengaruhi para penggembala, pedagang, ilmuwan, penguasa, dan pejuang. Dengan al-Qur'an, banyak kota-kota hebat didirikan seperti Baghdad, Cordoba, New Delhi dan lain-lain. Tidak dapat disangkal lagi bahawa pengaruh al-Qur'an jauh lebih dahsyat dibandingkan dengan pertempuran sehebat apapun. Dengan al-Qur'an umat Islam berjaya meruntuhkan dua pemerintahan berkuasa dunia iaitu Rom dan Parsi. Ia hanya mengambil masa 10 tahun untuk mengalahkan dua kuasa dunia itu, sesuatu yang pihak lain memerlukan ratusan tahun untuk mengalahkan kedua-duanya."-Ronald Victor Bodley (Perwira tinggi di kesatuan tentera Inggeris, penasihat tentera di Kesultanan Oman, 1924)

Banyak lagi anekdot menarik tentang bagaimana individu-individu dalam sejarah memeluk Islam dan mengimaninya. Sesungguhnya hanya Islam agama yang benar-benar menjamin kesejahteraan hati manusia. Buku ini secara generalnya menekankan mengenai Islam yang disebar dan diseru nabi SAW untuk semua manusia, bukan hanya kepada umat atau kaum tertentu. ^_^


:: rabiatul adawiyah's :: . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates