Terasing
Salam Alaik!
Terasing merupakan sebuah karya kreatif nukilan Hilal Asyraf, penulis remaja yang tidak asing lagi. Saya berpeluang membaca Terasing semalam, sewaktu menziarahi kakak saya di UIA Gombak.
Ketika hati berperang dengan perasaan antara dua pengorbanan yang ditagih dan tanggungjawab terhadap insan sekeliling, jiwa saya mudah berkecamuk, apatah lagi dengan harapan yang tinggi dari semua pihak. Menjadi pemimpin bukanlah mudah kerana pada sesetengah keadaan, ramai yang ingin menjatuhkan kita. Di sesetengah keadaan pula, ramai yang lepas tangan kerana beranggapan kita adalah 'superior' yang tahu segala-galanya. Hakikatnya, saya juga manusia biasa dan saya sedar bahawa tidak mudah menjadi seorang pemimpin jika kita berhati naif. Saya akui sedikit sebanyak pengalaman yang pahit mencemari(?) minda yang seringkali berfikir secara lebih kritikal terhadap sesuatu mahupun seseorang.
Namun, jiwa kembali tenang selepas membaca Terasing kerana bahasanya yang diolah santai secara tidak langsung merehatkan minda namun dalam masa yang sama saya peroleh peringatan bahawa, segala-galanya telah Allah suratkan dan seharusnya saya menjaga ukhwah sesama Muslim kerana selemah-lemah ukhwah adalah bersangka baik dengan sahabat.
Hilal Asyraf berjaya membuka satu sisi lain dalam penulisan berorientasikan dakwah. Kebejatan sosial, keluarga sakinah, dan tautan ukhwah berjaya diadun dalam satu penulisan yang santai namun bermotif. Jika dikatakan kebijaksanaan watak-watak antagonis dalam novel ini tidak mampu membuatkan mereka berfikir tentang keindahan ciptaan Allah, di sini saya melihat kebijaksanaan Hilal Asyraflah yang menjadikan watak-watak tersebut dilihat begitu licik dan pintar. Malah beliau berjaya mengukir plot dan mengekspresikan babak-babak yang begitu hidup dalam penulisan ini dan ia adalah satu anugerah Allah yang tidak ternilai.
Watak Zaman yang menjauhkan diri daripada sahabat-sahabatnya di MATRA adalah berpunca dari sangka buruknya sendiri. Dan siapa sangka watak utama dalam karya ini, Saifullah yang merupakan seorang yang naif dan sentiasa bersangka baik akhirnya mampu membawa Zaman ke pangkal jalan. Nyata, seorang individu yang sentiasa memusatkan pergantungannya kepada Allah Azawajalla mampu memikul beban dakwah sebagai pengajak kepada kebaikan, bukannya sebagai penghukum.
Namun, penulis berjaya menyedarkan saya akan sesetengah hal yang memerlukan hati para daie ini menjadi penghukum bila manusia terbukti kesalahan besarnya yang membawa mudarat kepada keluarga, agama, dan negara. Nyata, Terasing menukilkan caranya tersendiri dalam menjelmakan sebuah masyarakat kecil Muslim yang masih berpegang kepada Al-Qur'an dan Assunah dengan sewajarnya. Terasing berjaya mencetuskan perasaan mahu mengajak manusia, bukan sekadar ke arah kebaikan di dunia, bahkan keselamatan di akhirat.
"Terasing menjadikan saya tidak terasing lagi!"-Anonymous, 2010