Cliche punya tajuk. (Tak tau nak letak tajuk apa sebenarnya)
Hafizah dan saya, roommates untuk semester ini. Hafizah di Fakulti Sains Komputer dan Matematik manakala saya di Fakulti Pendidikan, di Seksyen 17. Fakulti Hafizah di dalam kawasan kampus induk, tetapi kampus saya di luar. Pagi ini saya terpaksa menapak hampir satu kilometer dari Kolej Kenanga sebelum sampai ke perhentian bas yang menjadi destinasi transit untuk ke kampus saya di Seksyen 17. Sampai sahaja di sana, ramai lagi rupanya pelajar lain yang sedang menunggu bas untuk ke destinasi yang sama. Jam hampir menunjukkan pukul 8.05 minit pagi. Saya mula risau, kalau-kalau bas sampai lewat. Kelas pagi ini bermula jam 8.30 pagi. Bermakna saya masih ada masa kurang setengah jam untuk perjalanan dari Seksyen 2 ke Seksyen 17 itu.
Kebanyakannya pelajar lelaki lengkap bertali leher ber'sadai' di bus stop. Syukur pagi ini tidak hujan. Kalau tidak, mungkin kami terpaksa berhimpit di bawah bus stop yang sempit itu untuk berteduh. Saya terus menelefon sahabat senior sefakulti saya, Adilah memandangkan bas tidak juga muncul-muncul. Beg kuliah dilepaskan dari bahu. Mencari-cari telefon bimbit di celah-celah buku dan pencil case. Jumpa. Handphone murah itu saya dail nombor Kak Adilah. Alhamdulillah, talian bersambut. Kak Adilah berjanji akan menyuruh sahabat kami, Kak Aini yang kebetulan kelas di fakulti yang sama pagi ini. Tersenyum sebentar mendengar suara kedua-duanya. Teringat kenangan manis kami ketika menghuni Villa Indah Permai. Saya yang paling bongsu di rumah sewa kami dulu. Kak Aini dan Kak Adilah kerap juga menyakat saya disebabkan faktor itu. Namun, sekarang masing-masing sudah berpindah ke tempat tinggal baru. Dan saya juga sudah menjadi kakak kepada ramai pelajar junior yang baru. Hanya sekali-sekala saya dimanjakan oleh kakak-kakak ini apabila berjumpa mereka. Kenangan yang sungguh indah.
Bas rapid T529--bas yang ditunggu-tunggu saya pagi ini. Dengan tidak disangka-sangka, lalu sebuah bas rapid yang dimaksudkan. Namun bas tersebut tidak berhenti di bus stop apabila kami semua mengangkat tangan dan berdiri mahu menghampiri bas. Kecewa sungguh. Rupa-rupanya bas tersebut rosak dan pemandunya memberhentikan bas di bahu jalan. Saya melihat sekilas jam di tangan: pukul 8.20 pagi! Saya menelefon kembali Kak Aini tetapi beliau masih berada di rumah sewa kerana ada sedikit hal. Akhirnya, setelah puas menunggu, lalu sebuah lagi bas rapid. Nak tak nak, terpaksa ucapkan maaf pada Kak Aini dan naik bas yang berhenti ini. Saya berdoa semoga sempat sampai sebelum pensyarah masuk kelas. Jam sudah pukul 8.26 pagi. Di dalam bas, walaupun ianya bas awam, pagi ini begitu penuh dengan pelajar. Saya dan beberapa orang yang lain terpaksa berdiri. Beberapa orang pelajar perempuan yang duduk di barisan hadapan tersenyum melihat saya.
"Kak Adda!" Panggil salah seorang daripada mereka.
"Mawar ke?" saya bertanya.
"A'ah.."
Patutlah mereka tersenyum melihat saya. Tentulah mereka ini junior yang baru mendaftar seminggu yang lepas di Kolej Mawar.
Setelah bas berhenti di hentian Seksyen 17, saya mempercepatkan perjalanan kaki ini. Dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Sampai di blok L tingkat 3, saya dapati sudah ramai rakan-rakan sekelas yang menunggu di tembok kaki lima--maksudnya, pensyarah belum tiba!-Alhamdulillah..
#########
Kelas bersama Madam Shiha pukul 2 petang itu dibatalkan. Jadi saya terus ke perpustakaan INTEC, mencari buku untuk dibaca. Bosan. Saya belek beberapa buah buku di rak fiction. Akhirnya, 2 buku dibawa pulang.
Pukul 3.30 petang, setelah menaiki bas untuk kembali ke Seksyen 2 dari Seksyen 17, saya ke foodcourt pelajar. Setelah membuat bayaran untuk minuman..tiba2, seseorang yang saya tidak kenali menegur.
"Baca novel apa tu?" "Boleh saya tengok?" sambil menghulurkan tangannya, meminta novel yang berada di atas meja yang saya letakkan tadi. Saya menyuakan novel yang diminta, agak pelik dengan 'keramahan' tiba-tiba begitu. Novel Lisa Jewell, A Friend of The Family bertukar tangan. Dia memberikan novel itu kembali.
"Pernah baca Bagaikan Puteri?" dia menyoal tiba-tiba. Macam tahu2 sahaja saya peminat baru novel-novel karya Ramlee Awang Murshid.
"Pernah", saya menjawab sepatah sambil tersenyum. Terbayang cerita tersebut yang sangat menarik.
"Cinta Sufi?" dia bertanya lagi.
"Aa..dah baca."
Dia menyoal lagi,"baca semua siri ke?"
"Satu yang belum..Hijab Sang Pencinta." "Pernah baca 9 Nyawa?", saya menyoalnya pula, kerana 9 Nyawa bagi saya novel yang mesti dibaca. Pendek kata, semua novel karya R.A.M mesti dibaca oleh hati yang mencari kedamaian.
"Belum."
"Bacalah. Best!"
Saya mengakhiri perbualan dan berlalu.
Dalam fikiran saya menyoal, macamana dia boleh terus bertanya tentang novel yang saya minati? Hm...(adakah dia agen RAM?--MENGARUT!)
####################
Alhamdulillah, hari pertama kuliah untuk semester 6 di sebuah universiti.