Hakikat.
Begitu juga dengan lelaki. Anda memakai pakaian yang segak, bergaya dengan fesyen rambut terkini. Ramai yang memuji-muji akan gaya anda. Hatta jam tangan yang dipakai pun, anda turut tak lepas memikirkan yang mana paling cool untuk dipakai.
Semua yang saya sebutkan tadi, sebenarnya untuk kepuasan siapa? Diri sendiri atau orang lain? Pernah atau tidak kita fikirkan apa yang kita lakukan itu untuk memuaskan kehendak Dia? Contohnya anda bangun tidur hari ini. Pernah atau tidak anda bertanya kepada diri anda, apa yang Tuhan mahu aku lakukan pada hari ini? Waktu kecil dahulu, saya sering bertanya kenapa saya diciptakan. Terdedah kepada bacaan mengenai hari akhirat sejak usia kecil menjadikan saya mula berfikir seusia saya lapan tahun, kalau ianya adalah lebih baik jika saya tidak menjadi manusia yang akan dihisab di hari akhirat. Waktu itu hati saya berkata, saya lebih rela menjadi angin, asap atau apa-apa sahaja yang tidak dihisab dan tidak dimasukkan ke neraka. Hari ini saya masih bertanya soalan yang sama, cuma berbeza cara bertanya; apa yang Allah ingin aku lakukan sebenarnya? Apa yang Allah mahukan dari aku sehingga Dia menciptakan aku? Namun saya sedar bahawa Allah tidak memerlukan apa-apa dari saya bahkan sayalah yang perlukan Dia. Sungguh Allah pencipta yang sangat mencintai ciptaannya, justeru didatangkan Islam sebagai petunjuk.
Jika diikutkan, umur manusia itu sendiri pendek sebenarnya. Bermula kita mencelikkan mata dari tidur, sehingga kita memejamkan kembali mata kita. Antara tempoh itu, bila-bila masa sahaja Tuhan boleh tarik balik nyawa kita. Setiap hari, apa yang kita lihat, kita dengar, dan kita baca menjadi makanan rohani kita. Kenapa saya kata begitu? Lihat sahajalah pengaruh televisyen dan suratkhabar serta internet kepada pemuda pemudi hari ini. Tiada satu pun yang betul-betul dapat membina sahsiah diri manusia yang sebenar. Mereka menayangkan kepada kita akan kehidupan yang 'ideal', wanita yang 'ideal', lelaki yang 'ideal', tapi sebenarnya 'ideal' mengikut lunas-lunas barat semata-mata. Seseorang wanita yang cantik itu mesti berpakaian begini, begini..dan seorang lelaki yang kacak itu mesti begini, begini. Setiap hari kita dihidangkan dengan benda yang sama. Akhirnya minda masyarakat di'set'kan bahawa kalau cantik dan kacak dan ideal itu kena ikut apa yang ditayang di TV, walhal semua itu rekaan dan diprogram semata-mata.
Walhal, Islam adalah cara hidup yang sebenarnya. Islam itu sudah cukup untuk satu kehidupan yang ideal, dunia dan akhirat. Tetapi masyarakat jadi punah bila idea barat yang lebih mengikut akal dan nafsu manusia yang diikuti. Pernah atau tidak anda terfikir, ketika anda mati kelak, banyak mana amalan yang anda akan bawa? Jika ia banyak namun dilakukan dengan riak (nauzubillah), ia hanya umpama debu. Kosong. Jadi siapa lagi yang dapat membantu anda jika lihat di sekeliling; abang , kakak, adik semuanya seolah-olah tiada persediaan untuk menuju mati yang sempurna. Hidup hanya untuk diri masing-masing. Celik mata, mencari makanan untuk perut, bersembang dengan kawan-kawan, belajar, bekerja, pejam mata kembali. Begitulah seterusnya. Tidakkah terlalu singkat rasanya kehidupan seperti itu?
Namun, jika kehidupan ini diniatkan bukan semata-mata untuk diri sendiri dan dunia, insyaALLAH kehidupan akan terasa panjang. Panjang kerana di akhirat kelak kita akan dihidupkan kembali. Dan bekalan amalan kita di dunia inilah yang akan membantu kita ketika itu. Saham amalan jika diterima Allah, akan membantu kita. Jika diniatkan setiap apa yang dilakukan itu untuk menjaga hablumminallah wa hablumminannas seperti yang diajar Rasulullah SAW, terasa hidup ini sangat bermakna. Hablun atau tali ini boleh dilihat dalam surah Ali Imran ayat 103 dan ayat 112. Tali dengan Allah bermaksud apa yang mengikat manusia dengan Allah. Tali dengan manusia pula ialah apa yang mengikat manusia sesama manusia. Yang mengikat manusia dengan Allah sudah tentulah aqidah dan keimanannya. Setakat mana keimanan seseorang itu sudah tentu mempengaruhi pula ibadahnya. Yang mengikat manusia dengan manusia pula ialah perhubungan samada muamalat dalam jual-beli, munakahat (pernikahan), jinayat , siasah, dan lain-lain.
Analogi yang mula-mula saya nukilkan di atas juga saya tujukan kepada diri saya dan kalian. Anda mencantikkan 'wajah' blog anda dan apa-apa yang anda post di blog atau facebook, kemudian berasa puas dengan keputusannya. Blog anda nampak cantik dan menarik. Kata-kata di facebook juga tak kurang ramai yang suka. Tetapi pernahkah anda menyoal kembali diri anda untuk apa semua itu dilakukan? Adakah untuk mendapatkan pujian manusia? Atau mengharapkan Allah suka? Alhamdulillah, jika anda cuma ingin Allah suka pada anda yang berniat untuk membantu manusia lainnya. Juga berniat untuk menyebarkan kebenaran yang Allah suka.
Seperti yang saya katakan tadi, kita hidup bukan semata-mata untuk kesenangan di atas muka bumi ini sahaja. Justeru setiap ruang yang dapat memberi kita saham di akhirat pasti akan kita rebut jika kita mengetahui hakikat kehidupan dunia ini.
"Yang penting, ikhlas."
Itu ayat yang biasa kedengaran, apabila manusia hendak menjustifikasikan tindakan. Sedangkan, ramai manusia tidak tahu, ikhlas itu tidak bermakna sekiranya tindakan tidak berada dalam lingkungan syara'.
Sepatutnya, "Yang penting, syara'"
Tidakkah ini masanya kita merubah minda dan jiwa kita? -Bro Hilal