Sahabat.
gambar hiasan
Persahabatan. Antara perempuan dengan lelaki, persahabatan memberikan definisi yang tersendiri. Dalam ruang lingkup kaum hawa, persahabatan ibarat satu keperluan hidup yang sangat penting. Ianya perlu dijaga dengan teliti. Adakala kesilapan yang dilakukan terlalu kecil untuk dipersoalkan. Namun hakikat persahabatan sebegini membuatkan wanita lebih berhati-hati dan kenal mana kawan dan mana lawan. Berbeza dengan kaum lelaki, umpama kebiasaan andai gurauan mereka sesuatu yang lucu, tapi tajam maksudnya kepada sang teman.
Hidup terkadang memerlukan persahabatan. Walaupun sesetengah manusia jelas berkelakuan seolah mereka tidak menginginkan persahabatan. Perkataan 'sahabat' mungkin terlalu jelak pada pendengaran mereka. Mereka salah? Tidak. Mereka tidak sekali-kali salah. Perasaan itu hadir lantaran persekitaran yang mempengaruhi. Mungkin mereka pernah dikecewakan atau dikhianati manusia yang mereka sudah anggap sebagai sahabat sejati. Kasihan manusia yang pada awalnya berhati bersih tentang persahabatan ini. Namun sedarkah mereka akan hakikat di sebalik kebencian terhadap perkataan sahabat itu? Allah menguji tahap kesabaran dan keimanan mereka.
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" - Surah Al-Baqarah ayat 45
"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir." - Surah Yusuf ayat 12
"..Allah menyukai orang-orang yang sabar." (QS. Ali Imran : 146).
Setiap orang melalui jalan yang berlainan dalam menemukan sahabat. Ramai orang menjumpai kawan, akan tetapi sedikit orang yang dikurniakan sahabat dalam hidupnya. Bahkan masih ramai yang masih tercari-cari sahabat terbaik untuknya, walaupun mereka tahu mereka tidak mungkin menemukannya di sekeliling mereka, justeru berfikir-fikir untuk keluar dari kepompong kehidupan yang dilalui sehari-hari.
Peritnya jalan mencari seorang sahabat sejati, justeru tidak ramai yang kisahkan tentang sahabat atau teman, kawan atau rakan ini. Mana-mana manusia yang sudi berkawan, terima sajalah, kerana itu sendiri membuka jalan ke arah kehadiran seorang sahabat. Namun tak kurang yang terpengaruh oleh kawan yang dipilih. Kerana akan ada kawan yang kemudiannya menjadi teman. Begitulah fitrahnya.
Akhir kalam, sedikit renungan mengenai dunia persahabatan dari hamba-Nya yang fakir ini;
1.Bersahabat kerana-Nya
2.Menerima kekurangan sahabat
3. Membenci perbuatan mungkar kawan, (bukan diri mereka) sambil berusaha menyedarkan mereka dengan cara termampu
Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a, khadam Rasulullah saw, daripada nabi saw, baginda bersabda
"Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."
(Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim.)
Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh (di akhirat) bagi sebagian yang lain KECUALI orang-orang yang BERTAKWA (QS. Zukhruf:67)
Apa-apa kekurangan, harap dimaafkan.Wallahua'lam.~