Membela orang yang dicintai satu tindakan mulia, namun membela musuh yang sedang dizalimi jauh lebih mulia. Sikap ini cerminan hati yang telah mampu menundukkan nafsunya kepada ketentuan hukum Allah SWT. Menyentuh perkara ini, saya teringat sebuah kisah benar di Mesir beberapa masa dahulu. Ia membabitkan dua orang tokoh ulama di kota tersebut iaitu Ibn Daqiq al-‘Id dan Ibn Binti al-A’azzi. Kerana sebab-sebab tertentu, hubungan mereka diwarnai dengan konflik yang cukup panas.
Suatu hari, Ibn Binti al-A’azzi melakukan kesalahan yang tidak dapat dimaafkan di mata Sultan dan wazir. Mereka lalu berpakat untuk menghukum mati ulama ini dengan mencipta tuduhan palsu bahawa dia telah murtad.
Tuduhan itu ditulis pada selembar surat yang diedar kepada setiap tokoh besar di Mesir. Satu persatu tokoh tersebut menurunkan tandatangan menyetujui kandungan surat tersebut.
Ibn Daqiq al-‘Id menjadi tokoh terakhir menerima surat yang diedarkan itu. Andai beliau turut bersetuju, maka Ibn Binti al-A’azzi yang selama ini memusuhinya, tidak akan selamat daripada hukuman mati.
Sejurus menerima surat itu, Ibn Daqiq al-‘Id membaca isinya dengan teliti. Semua tokoh yang hadir menggesanya untuk segera menandatanganinya. Namun beliau tidak mengendahkan gesaan tersebut, malah meneruskan bacaannya dengan penuh khusyuk.
Selesai membaca, Ibn Daqiq al-‘Id mengangkat kepalanya dan berkata:”Tidak halal bagiku menandatangani surat ini.”
Kata-kata ini sangat mengejutkan semua orang. Mereka tidak menyangka sikap ini yang ditampilkan Ibn Daqiq al-‘Id terhadap orang yang membenci dan memusuhinya. Mereka menyangka tokoh ini akan menyingkirkan musuhnya selama-lamanya.
Seseorang lalu merayunya dengan berkata:” Tuan, lakukanlah demi Paduka Sultan dan wazir.”
Mendengarnya, Ibn Daqiq al-‘Id menjadi marah. Beliau berkata:”Aku tidak akan ikut serta membunuh seorang Muslim.”
Sikap tegas ini menggagalkan konspirasi jahat itu, menyelamatkan Ibn Binti al-A’azzi sekaligus meninggikan nama Ibn Daqiq al-‘Id dalam lembaran sejarah umat Islam hingga ke hari ini.
Soalan:
Bagaimana menjadi seorang bersederhana dalam mencintai atau membenci, sebagaimana yang ditonjolkan dalam kisah Ibn Daqiq al-‘Id di atas?
Bagaimana kita menerapkan prinsip wasatiyyah dalam membenci? Kita boleh mulai dengan memikirkan kembali sebab kebencian yang kita rasakan terhadap seseorang. Ajukan soalan ini dalam hati:
“Mengapa aku membencinya?”
Seringkali seseorang itu tidak tahu punca ia membenci orang lain. Dia hanya merasakan kebencian setiap kali melihat atau mendengar nama orang itu. Namun jika ditanyakan sebab kebenciannya, ia tidak dapat menjawab dengan jelas dan meyakinkan.
Sikap “membenci tanpa sebab” ini tentu sahaja sangat jauh daripada keadilan. Bahkan, orang seperti ini sebenarnya sedang menderita sakit jiwa yang harus segera diubat,
Ada juga orang yang membenci kerana ikut-ikutan. Fenomena ini biasanya terjadi dalam kes kebencian bermotifkan politik dan membabitkan orang awam. Sama seperti sebelumnya, sikap ini pun bukan sikap islami yang layak ditampilkan seorang Muslim.
Sesetengah orang yang lain tahu factor ia membenci orang lain. Mungkin kerana ucapan atau perbuatan orang itu yang pernah melukai perasaannya. Untuk orang seperti ini, soalan berikut harus diajukan kepadanya:” Apakah kebencian itu berpatutan dengan kesalahannya?”
Seringkali, kebencian kita jauh lebih besar daripada sebabnya. Perkara yang sangat remeh berubah menjadi konflik yang berpanjangan kerana ego kita. Kita enggan mengalah dan bertolak ansur, padahal sikap ini sangat digalakkan oleh agama kita.
Orang yang lebih dulu bertolak ansur dalam persengketaan petanda kebenaran berada di pihaknya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:” Tidak halal bagi seorang Muslim menjauhi saudaranya lebih daripada tiga hari. Kedua-duanya berjumpa, namun saling berpaling daripada satu sama lain. Orang terbaik antara kedua-duanya adalah yang terlebih dahulu mengucapkan salam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Daud)
Kebencian Melampau
Apabila kebencian kita melampaui garis wasatiyyah, kita akan hidup dalam deraan psikologi yang sangat menyeksa. Setiap kali mendengar nama orang yang kita benci itu disebut, fikiran kita menjadi keruh. Jika seseorang memujinya, hati kita seolah-olah terbakar.
Hati kita dipenuhi pelbagai sangkaan buruk setiap kali melihat orang yang kita benci itu melakukan atau mengucapkan sesuatu. Kita sukar percaya bahawa ia mampu berbuat baik, bahkan mampu berniat baik !
Kita tidak dapat menerima kenyataan bahawa setiap orang memiliki kelebihan walau sekecil mana pun, kita lebih tidak boleh menerima jika orang lain mengetahui kelebihan itu. Kita akan sibuk membuka aib dan keburukan orang itu untuk menutup mata semua orang daripada melihat kebaikannya.
Pada tahap yang lebih parah, kita bukan hanya membenci orang yang kita benci itu, malah turut membenci setiap orang yang bersamanya. Kita membenci ibu bapa, teman, murid, guru, bahkan haiwan peliharaannya.
Saban hari, semakin bertambah bilangan orang yang kita benci. Dan saban hari juga, semakin berkurang bilangan orang yang boleh kita percayai. Akhirnya, kita hidup di tengah ramai musuh dan sedikit kawan. Dan hati kita selalu dalam keresahan.
Ya, kebencian yang berlebihan hanya akan merosakkan diri sendiri. Oleh sebab itu, al-Hasan al-Basri berkata:” Bersederhanalah dalam mencintai , dan moderatlah dalam membenci. Sungguh ramai orang yang binasa kerana berlebihan dalam membenci.”(Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Imam)
Ibn Daqiq al-‘Id
Batasan wasatiyyah dalam mencintai dan membenci seseorang tidak terlihat oleh semua orang. Ia hanya terbuka apabila emosi dan ego telah tunduk kepada al-Quran dan sunnah seperti yang terjadi pada diri Ibn Daqiq al-‘Id.
Kenalkah anda, siapa tokoh besar ini? Beliau adalah Taqiyyuddin Ali bin Wahb al-Qusyairi. Beliau dilahirkan pada tahun 625H di Hijaz, lalu menghabiskan usianya dengan menuntut ilmu agama dengan bersungguh-sungguh. Beliau terkenal sebagai ulama yang sedikit berbicara namun banyak beribadah. Beliau sangat zuhud, warak dan penuh taqwa kepada Allah SWT.
Beliau pernah berkata:”Tidaklah aku mengucapkan atau melakukan sesuatu, melainkan setelah aku siapkan jawapanku di hadapan Allah SWT kelak.” Tokoh besar ini wafat di Mesir pada tahun 695H.
Ya Allah, kami meminta agar dapat menjaga keadilan dalam cinta dan benci. Dan jagalah mata hati kami daripada dibutakan oleh kedua-duanya. Benar, buta mata hati adalah seburuk-buruk musibah yang Engkau timpakan kepada hamba-Mu di muka bumi ini. Amin ya rabbal alamin.
- Petikan Makalah Solusi isu #29,