Lupa Juga Rahmat
Selalu kita dengar, lupa ini satu sikap yang perlu dijauhkan. Namun, lupa juga merupakan satu kelebihan dalam situasi-situasi tertentu, rahmat Allah buat hamba-Nya yang mahu bersyukur.
- Lupa persengketaan, ingat persaudaraan
Semestinya kita sentiasa diseru melupakan persengketaan dan mengingati persaudaraan sesama insan. Usah dipanjangkan persengketaan kerana akhirat sana juga tempat berkumpul, tiada yang berguna melainkan amal kebajikan.
- Lupa kepahitan, ingati manisnya kenangan
Banyak-banyak benda, yang pahit jua dikenang. Kenapa? Mungkin sudah jarang benar menerima kepahitan,jadi sukar untuk dilupakan. Namun pahit itu boleh jadi penawar. Penawar untuk mengingati dan menghargai kemanisan.
- Lupa keburukan, ingat kebaikan
Bila melihat satu kertas putih yang terconteng dakwat hitam di atasnya, kita sering menumpukan perhatian ke atas dakwat hitam. Jarang kita mahu melihat warna putih yang sedia wujud padanya. Sama keadaannya dengan keburukan orang lain, pasti ada kebaikannya yang dilakukan.
- Lupa kesusahan, ingat kemudahan
Sebanyak-banyak kemudahan yang telah diberikan-Nya dalam hidup, mengapa mahu mengingati kesusahan? Mengeluh dan menyesal dengan kesusahan yang menimpa, sedangkan itu semua ujian yang menunjukkan Dia masih mengawasi. Semua yang ada di badan dan kediaman kita berupa kemudahan yang sangat banyak telah dikurniakan-Nya.
Untuk semua ini, bersangka baik lah. Dengan bersangka baik kita mudah melupakan persengketaan, kepahitan, keburukan, dan kesusahan. Bahkan diganti-Nya dengan rasa lapang dada, dan redha dengan takdir-Nya. ^_^