Wednesday, August 24, 2011

Puisi Buat Mujahid & Mujahidah


Dunia gelap dan gulita
Yang kuasa hanya patung dan berhala
Buatan tangan si penyembah itu
Daripada kayu dan batu
Filsafat Yunani tak berpengaruh lagi
Hukum Rumawi telah bangkrup dan rugi
Hikmat benua Cina telah padam lena;
Tetapi bahu Muslimin kuat
Telah membungkar ilhad, dan seluruh jagat
Telah memancarkan sinar baru,
Tauhid dan Ijtihad

Diwaktu itu
Ya Ilahi
kebun kebun didalam alam telah kehilangan nyanyi
Dan kembang tidak lagi menyebarkan harumnya
Kalau ada angin menderu, hanyalah pancaroba
Kalau suara terdengar hanyalah suara dan guruh tuhur;
Sampai datang utusan Tuhan dinegeri Mekah itu
Dia adalah ummi - telah mengajar isi bumi
Akan erti kehidupan langit
Dia telah menunjukkan kepada isi alam
Apa ertinya fana’ dalam menuju yang baqa
Maka kamilah yang harum dalam kebun itu
Kami hapuskan tanda kegelapan malam
Dengan sinar cahaya subuh
Sehingga Iman kami telah laksana kegilaan dan
orang yang asyik

Kami hadapi seluruh kemanusiaan,
Ya Tuhan dengan Nur
Dalam saat yang singkat,
selonjak bola melayang
Untuk mengenal Kebenaran, Cahaya dan Keindahan
Dunia dikala itu telah penuh oleh bangsa-bangsa dan kerajaan Saljuki, Turani dan Cina
Ada kerajaan Bani Sasan
Ada peninggalan Ruma dan Yunan
Maka kami kibarkan bendera Tauhid
Kami kumpulkan segala anak manusia dan turunannya demi turunan
Dalam satu kekeluargaan;
Percaya akan diKau,
mentauhidkan Engkau

Kami perbaiki yang rosak,
kami tegakkan yang condong
Kami pun berjuang didarat dan dilaut
Menggetar suara azan kami ditempat-tempat menyembah di Eropah
Berbekas sujud kening kami dipasir Sahara Afrika
Kami tidak takut pada Kaisar,
atau kekuasaan adikara,
Atau kemarahan raja-raja
Kami pendengarkan kepada alam, seluruhnya
Kalimat Tauhid

Tak ada lagi kekayaan kami yang tinggal, Ya Rabbi
Kecuali satu, iaitu kemiskinan
Tak ada lagi kekuatan kami yang tinggal, Ya Rabbi
Kecuali satu, iaitu kelemahan;
padahal
Jika Muslim tak ada lagi didunia
Dunia itu sendiri pun akan hilang hancur
Kami memohon Baqa didunia ini
Kerana ingin Fana, dalam cinta akan diKau

Kesetiaan Siddiq, keadilan Umar, musyaf Othman, Taqwa Ali, kejujuran Salman
Keindahan suara Bilal didalam azan
Semuanya masih tetap kami simpan, dihati yang am
Didalam keteguhan Iman dan penyerahan bulat bulat
Bangunkanlah Ya Rabbi kami kembali
Dengan itu suara genta yang pertama kali

Telah Engkau bangunkan Agama ini mulanya dipuncak Faran
Maka terangilah hati si asyik ini dengan hembusan Iman
Bakar habis cintakan dunia
Dengan cetusan api cinta Mu

.
.
.
.

Telah kami hamparkan tikar kurnia
Tapi, siapakah yang datang bertanya?
Telah kami rentangkan jalan raya kemuliaan
Tapi, siapakah yang terlengkup untuk melaluinya
Sungguh cahayanya telah kami pancarkan dari
Fitrat
Tetapi permata tidak menyambut sari cahaya dirinya
Seakan akan sejemput tanah ini, tidak terjadi
Dari tanah Insaniah yang pertama di tempa…..

Benarkah kamu telah bersedia dizaman baru
Menjadi Abid Allah tentera Muhammad
Dan menjadi permata berlian menyinar cahaya dari
Agama ini?
Mana boleh, pelupuk mata mu telah berat
Buat menyambut cahaya subuh dengan takbir
salatmu dan rintihan hidup mu.

Seakan-akan perangaimu telah turut tidur dengan
pelupukmu
Apakah bezanya terang siang dengan gelap malam
Bagi orang yang tidur mendengkur ditengahari?
Bukanlah Ramadhan tidak mengikut kemerdekaanmu
Tidak memutar belitkan kebudayaanmu.

Wahai umat bercakap terus teranglah, inikah yang namanya setia
Kepada sejarahmu yang lampau dari agamamu? Wujudnya suatu kaum adalah kerana wujud agamanya
Agama pada suatu umat adalah tulang tempat ia berdaulat.
Kalau agamanya telah pergi
Agamalah yang telah menyusun jadi satu barisan
Kalau tak ada sandar-menyandar, di antara bintang dan bintang
Tidaklah terbentang suasana indah di langit
Maka bulan pun taklah akan sanggup memancarkan
keindahan sinar

Lihatlah Masjid Allah,
yang meramaikannya hanyalah orang-orang miskin
Mereka hanya yang puasa, mereka yang sembahyang
Merekalah yang abid, merekalah yang berzikir
Merekalah yang menutup malumu sekalian di hadapan mata
dunia
Adapun yang kaya mabuk dalam kelalaian dan menolak seruan
Adalah suatu hal yang menghairankan
Bahawa agama itu yang masih suci, masih teguh binaannya
Kerana nafas orang yang kafir
Kekuatan semangat tak ada lagi dalam susunan katamu yang telah basi
Ajaran yang telah diberikan tidak lagi menarik hati
Kalaulah tidak ruh Bilal yang masih ada didalamnya
Azan itu sendiri pun telah kehilangan keindahannya
Masjidmu telah mati kerana kekurangan saf-saf
Mihrab dikerut lawah kerana kematian Iman
Mimbarmu berlumut dan menimbulkan jemu
Khatib dihantarkan kesana dengan pedang dan pada kayu

Tetapi rumahmu?
Rumahmu penuh dengan alat kebanggaan
Dengan pangkat dan gelar-gelar,
Tun, Tan sri, dato’ dan lain-lain
Aku tak berjumpa Muslim didalamnya

Aku harapkan pemuda inilah yang akan sanggup!
membangunkan zaman yang baharu memperbaru kekuatan Iman
menyalakan pelita hidayat
menyebarkan ajaran Khatimul Anbiya

Ditengah medan pokok ajaran Ibrahim
api ini akan hidup kembali dan akan membakar
janganlah mengeluh jua,
hai orang yang mengadu janganlah putus asa,
melihat lengang kebunmu
cahaya pagi telah terhampar bersih
dan kembang-kembang telah menyebar harum narwastu
kumbang dan lebah telah mulai mendengung mengedar
dari Syuhada,
telah mengelegak dimulut kuntum
tak kah kau lihat langit,
alangkah jernih
tak kau lihat ufuk,
burhan telah menyatakan diri hari yang baru telah pasti datang
dan syamsu akan datang dengan cahaya gemilang.

Dan pandang pulalah kebumi
tidakkah engkau lihat satu kaum memetik buah dan yang lain menghapus tangan
memang banyak pohon kurma yang telah masanya berbuah
tetapi benih-benih yang baru bergerak di pelipis bumi,
memecahkan sendiri tempurungnya,
melonjakkan tunas
hendak melihat cahaya dibumi,
asalkan dia sentiasa disiram dan disiram dengan ajaran asli Islam,
dia akan tumbuh
dengan suburnya
dan dunia mendapat nafas baru.

Khalaifafuladli akan diserahkan kembali ketanganmu
Bersedialah dan sekarang Tegaklah,
untuk menetapkan ENGKAU ADA
Denganmulah Nur Tauhid akan
disempurnakan kembali

Engkau minyak athar itu,
meskipun tersimpan dalam kuntum yang akan mekar.
Tegaklah, dan pikullah amanat ini atas pundakmu
Hembuskan panas nafasmu diatas kebun ini
Agar harum-haruman narwastu meliputi segala

Dan janganlah dipilih hidup bagai nyanyian ombak
hanya berbunyi ketika terhempas dipantai
Tetapi jadilah kamu air bah, mengubah dunia dengan amalmu

Kipaskan sayapmu di seluruh ufuk
Sinarilah zaman dengan nur imanmu
Kirimkan cahaya dengan kuat yakinmu
Patrikan segala dengan nama Muhammad
Dan tarikan nafas Bismillah.

No comments:

Post a Comment