Wednesday, July 22, 2009

Buku yang separuh lunyai itu dibeleknya. Buku itu dibeli sekitar tahun tahun 90-an. Muka depan sudah terkoyak, entah ke mana hilangnya. Dia cuma mengetahui buku itu bertajuk "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" setelah membelek-belek isi dalamnya berulang kali. Dia tidak tahu mengapa. Tergerak hati ingin membaca sendiri buku itu. Ketika pertama kali terjumpa buku itu di dalam stor rumah, dia rasa ingin melompat kesukaan. Gembira bukan kepalang. Selama ini dia cuma mendengar dan membaca mengenai kupasan buku itu dari internet dan ceramah-ceramah agama yang dihadirinya.

Apa Erti Saya Menganut Islam; Maza Yakni..boleh didapati di kedai2 buku agama berhampiran

"Rupanya stor rumah ni gedung harta karun ilmu." fikir Mujahid Ilmi.

Mujahid sudah maklum, ayahnya memang suka membaca dari dulu. Namun, buku-buku lama yang terlalu banyak sudah disimpan di dalam stor rumah mereka. Mujur dia tergerak hati membelek-belek rak buku di dalam bilik kecil itu, mencari buku untuk dibaca lantaran kebosanan melanda diri ketika menghabiskan cuti semnya di rumah.

Buku Fathi Yakan itu dibeleknya lagi. Membaca pengenalan buku itu pun sudah cukup buat dia berfikir. Apa ertinya aku menganut Islam? Baru-baru ini dia terbaca mengenai kematian penulis buku tersebut. Kehilangan besar kepada dunia Islam. Oh, rugi sungguh diri aku! Fikir Mujahid. Terlewat membaca sendiri buku karangan tokoh besar dunia Islam itu. Setelah pemergiannya barulah sibuk-sibuk ingin membelek karya agung beliau.

Sheikh Dr.Fathi Yakan, Februari 1933-Jun 2009 (Al-Fatihah)

Seminggu lagi akan bermula semester baru. Mujahid teringat persiapannya untuk melangkah ke semester baru. Berjumpa semula sahabat-sahabat yang dicintainya; Soleh, Zidni, Rifqi, Zul, Paih, Malik, Zwan, dan lain-lain. Sahabat dunia akhirat, itulah janji mereka. Mujahid sudah mencongak-congak apa yang akan dilakukannya untuk semester baru nanti. Semester baru kali ini pasti sangat seronok, fikirnya. Tiga bulan istimewa; Rejab, Syaaban, Ramadhan bakal dilalui mereka, bersama-sama. Seperti sebelum ini, mereka akan bersama-sama mengimarahkan masjid, iftar dan tazkirah, sudah menjadi amalan harian di bulan Rejab dan Syaaban. Kerap kali menghabiskan masa di surau-surau kolej dan masjid berdekatan. Dan bulan Ramadhan mereka dihabiskan dengan tadarus, iktikaf dan terawih berjemaah. Iftar sudah semestinya bersama. Selalunya bulan Ramadhan ada sahaja di kalangan mereka dijemput memberikan tazkirah di surau-surau siswi. Dan Mujahid sendiri tidak mahu melepaskan peluang membuat amal kebajikan di bulan mulia. Selalu dia menyelitkan pesanan kepada para siswi supaya menutup aurat dengan sempurna dan menjaga pergaulan dalam tazkirahnya. Dia tidak mahu malu untuk memberikan peringatan atas perkara kebenaran. Itu sudah menjadi prinsipnya. Dari dulu.

bersambung...

stay tuned..

:: rabiatul adawiyah's :: . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates