Wednesday, July 22, 2009

"HAH, SENYUM SORANG-SORANG...BERANGAN LAH TU!"

Satu suara yang dikenalinya menyapa. Addiniyah kembali ke alam realiti. Teringat dia sekarang berada di bangku laman dataran kampus. Bangku yang sedikit berkarat itu menjadi tempat dia merehatkan diri sementara menunggu sahabatnya, Amy yang tinggal di kolej berlainan datang membeli makan malam bersama-sama.

"Oh..kak dian, Add ingatkan siapa tadi. Buat terkejut Add je." Dian sudah melabuhkan duduk di sebelah Raudhatul Addiniyah.

"Iyelah, awak tu senyum sorang-sorang, share lah sikit, ape yang happy sangat." Dian bertanya sambil menepuk lembut belakang Addinniyah.

"Takdelah.."Addiniyah bersuara sambil menundukkan wajahnya. Mengingati sesuatu.

"Sebenarnya... saya teringatkan mak saya. Teringat peristiwa lucu tentang dia..tapi dah lama tak contact mak." jawab Addiniyah. Tersenyum. Seketika. Perlahan-lahan dia mengangkat wajah memandang Dian yang masih tersengih memandangnya. Lampu neon yang menerangi bangku tempat duduk mereka mula menjadi tempat tumpuan persinggahan serangga-serangga kecil. Waktu mula menginjak malam.

"Kak, macamana ya.. Kita kat sini belajar, belajar juga..tapi dalam masa yang sama, lupa nak berhubung dengan mak ayah kat rumah. Agak-agak apa perasaan diorang ya?" Terpacul soalan itu dari mulut Addiniyah. Siswa-siswi mula berpusu-pusu lalu lalang di hadapan bangku tempat duduk mereka. Menuju ke kafe, mungkin.

"Hmm.."Termenung sebentar Dian mendengar persoalan Addiniyah.

"Sebenarnya itulah yang kita akan rasa bila kita berjauhan dengan mak ayah. Apatah lagi bila sekian lama berada di tempat pengajian. Kesibukan untuk memenuhi tuntutan assignment, group work, kuliah dan sebagainya akan menyebabkan kita jadi tak stabil dari segi pengurusan masa. Lebih mencabar lagi bila kita melibatkan diri dalam gerak kerja persatuan. Sentiasa ada amanah besar untuk dilaksanakan." Luah Dian yang memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah persatuan di fakulti undang-undang itu.

Suasana hening seketika. Addiniyah masih mendiamkan diri. Cuba mencerna baris-baris ayat yang baru didengarinya sebentar tadi. Seketika Dian menyambung perkongsiannya.

"Add nak tau, akak pun pernah rasa ape yang Add rasa. Hati mak ayah akak terluka, sebab akak terlampau busy dengan urusan di kampus. Dari situ akak belajar dari kesilapan. Walau sesibuk mana pun kita, mak ayah tetap perlu diberi perhatian." Addiniyah mengangguk-anggukkan kepala. Faham benar akan situasi sebegitu. Dia sendiri hampir mengalaminya. Dian menghela nafas perlahan. Mencari-cari lagi ayat terbaik untuk dijadikan kata semangat mereka.

"Add,kita bukan disibukkan dengan perkara maksiat. Kita disibukkan dengan berpersatuan. Tapi ..bukan semata-mata untuk memenuhi tuntutan ko-kurikulum. Sebaliknya untuk memenuhi tanggungjawab yang lebih besar, menyampaikan dakwah."

"Tapi kak..saya selalu rasa, kenapa Allah pilih saya? Apa yang Allah mahukan dari hambaNya yang takde apa-apa keistimewaan ini sebenarnya? Kadang-kadang sampai tak terkejar saya dibuatnya dengan semua kerja yang saya tak jangka. Rasa macam.. melebihi had keupayaan diri saya ini."

"Add,cuba tengok di sekeliling Add." Perlahan-lahan Addiniyah memandang suasana di sekeliling dataran Cendawan itu. Tempat makan paling popular di kampus mereka. Membuat 'observation'.

Terdapat siswa dan siswi yang begitu ramai membeli makanan mahupun duduk menikmati hidangan masing-masing di gerai-gerai makan dan meja makan berpayung yang disediakan di laman dataran. Ada yang berseorangan, ada yang berdua, ada yang segerombolan berkumpulan. Daripada yang berpakaian ala kadar, simple, dengan selipar jepun sehinggalah yang bersolek tebal dan berpakaian ranggi hingga menampakkan susuk tubuh. Karakternya pula berbagai-bagai; ada yang 'lembut mengalahkan perempuan', ada yang 'persis lelaki rupanya perempuan', ada yang 'sopan tak peduli orang', ada yang 'sembang ketawa tak ingat dunia'..Macam-macam lagi. Suasana seperti selalu. Bising. Di tepi-tepi sudut border pancuran air terjun pula terdapat pasangan-pasangan yang 'dalam-perancangan-kahwin-tapi-tak-tahu-bila'. Duduk 'berdiskusi'.

Perasaan kasihan terhadap mereka menerpa hati Addiniyah. Bagaimana kalau aku di tempat mereka? Nauzubillah. Teringat dia nekad untuk bergiat aktif dalam persatuan Mahasiswa Islam Prihatin di kampusnya. Sebagai perisai kepada diri sendiri selain dia juga turut berpeluang menyampaikan dakwah. Dia memalingkan wajahnya kembali ke arah Dian. "Kalau bukan kita, siapa lagi?" Bagai terngiang-ngiang kata-kata itu di telinga Addiniyah. Seolah-olah Dian mengkhabarkan kepadanya secara halus. Telepati, mungkin.

"Add bertuah. Add terpilih untuk membantu agama-Nya dengan kesibukan Add. Ada sesetengah pelajar disibukkan, tapi sibuk yang bagaimana? Sibuk bercouple, sibuk mencari duit, sibuk mencari populariti dan kebendaan..semua itu tak akan ke mana. Add fikir semua usaha kita sia-sia kah? Apakah Add sudah lupa dengan janji-janji Allah bahwa Dia akan sentiasa berada di samping kita dalam setiap perbuatan yang kita lakukan?"

Hampir menitis airmata Addiniyah mendengar perkhabaran janji dari Allah. Dia sendiri sudah bingung agaknya, jikalau melupakan janji-janji yang pasti itu.

"Bersyukurlah kerana masih terpelihara menggenggam amanat ibubapa dan Allah. Apa yang penting, jangan lupa doakan kesejahteraan mak dan ayah Add. Dan..rebut peluang menunjukkan contoh yang baik kepada mereka sebelum terlambat." Dian menitipkan nasihat buat adik kesayangannya itu.

Addiniyah menatap wajah Dian sambil tersenyum."Saya faham sekarang kak. Terima kasih. Saya akan ingat kata-kata akak." Terdiam sebentar dia. Cuba menghayati lontaran nasihat Dian dan mengambil ibrah dari suasana sekeliling mereka.

Dian teringat sesuatu. Raudhatul Addiniyah. Dia mengenali adik juniornya ini ketika di semester kedua pengajian. Seorang yang pendiam di awal perkenalan. Namun setelah lama mengenali Raudhatul Addiniyah, terserlah keramahan seorang adik manja. Dian terkenang detik pertama kali pertemuan mereka. Ketika itu meeting kali pertama Persatuan Mahasiswa Islam Prihatin di kampusnya. Juniornya itu kelihatan berseorangan. Orang baru, fikirnya. Setelah salam perkenalan dihulurkan semua ahli mesyuarat, pemilihan jawatankuasa diadakan. Raudhatul Addiniyah terpilih menjadi setiausaha kerja unit kaunseling untuk sesi yang baru ketika itu. Dia sendiri menggalas beban baru sebagai pemangku ketua unit kaunseling. Dan bermulalah tautan ukhwah yang semakin erat antara dia dan adik itu.

"OKlah Add, akak kena pergi dulu ni. Kejap lagi ada meeting persatuan fakulti akak. Jangan lupa pesanan akak tau. Kalau ada apa-apa masalah, jangan segan-segan bagitau." Dian mengingatkan Addiniyah. Segera dia menyusun kembali buku-buku di tangannya.

"InsyaALLAH. Terima kasih sangat-sangat. Lain kali kita 'sharing is caring' lagi ya.." ucap Addiniyah sambil tersenyum lebar. Gembira dapat bersua muka dengan kakak yang dikagumi itu walaupun seketika.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Selepas bersalam, Addiniyah memandang dari jauh kelibat yang melangkah meninggalkan dataran Cendawan itu..

~Habis daa~
wallahua'lam.^^

:: rabiatul adawiyah's :: . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates