Saturday, May 28, 2011

Amaran: entri ini lebih kepada penyesalanku terhadap bahasa SEGELINTIR 'hero' blogger umat Melayu hari ini.

Dalam dunia tanpa sempadan menerusi internet hari ini, langit informasi terbuka luas. Sesiapa sahaja--selagi dikurniakan Allah nikmat pancaindera mata dan tangan, (atau kaki), boleh mengepos, menaip apa sahaja menurut lunas hatinya tanpa mengira dosa dan pahala. Tanpa menghiraukan jiran tetangga. Dunia blogging hari ini semacam dilanda satu fenomena. Manusia tak kira golongan mahu mengikut trend semasa. Mengetahui isu semasa. Namun dalam kerakusan mereka mencari isu, mereka bagaikan telah melupakan soal adab dan akhlak. Tolak ketepi semua itu. Asalkan nafsu serakah mendapat 'ilmu' itu dipenuhi. Semua jenis perkataan lucah, kotor, mencarut, dihalalkan atas nama kebenaran kononnya.



Apa yang paling dikesalkan, ada antaranya yang bergelar 'ustaz', tanpa segan silu menaip perkataan-perkataan lucah, mencarut, maki hamun di laman sesawang. Itu belum kira lagi pengikut-pengikut 'ustaz' itu yang menjadikan 'ustaz' mereka bagaikan disimbahi cahaya agung, menjadikan perkataan-perkataan 'ustaz' tersebut sebagai fatwa pula di laman mereka. Walhal, jika ditanya, ramai antara mereka belum pernah atau tidak pernah langsung berjumpa dengan 'ustaz' terbabit. Terus menjadikan ustaz itu idola mereka setelah membaca apa yang disifatkan sebagai 'mengetuk' pintu hati mereka kononnya.



Suatu waktu dulu saya tidak berkecuali masih naif dalam hal blogging. Lawatan ke blog-blog juga jarang dilakukan. Namun saya di'link' kan ke blog-blog berbahasa 'indah' sebegini oleh seseorang yang rajin menelaah blog-blog sebegini. Mana mungkin saya sebagai yang bagaikan katak bawah tempurung ketika itu tidak terkejut dengan bahasa-bahasa sebegini. Sebutkan apa sahaja perkataan negatif dan lucah pasti akan dijumpai di sana. Memang gelap hati membacanya, namun antara benda yang pasti ialah blog sebegitulah yang kerap dikunjungi dan mendapat ramai peminat (penagih) yang tertunggu-tunggu bahasa keji dan lucah setiap hari. Ramai pula yang terpengaruh mengeji maki orang lain atau paling tidak, selesa mengeluarkan bahasa kesat di sana sini kerana ada 'sifu' yang lebih 'indah' bahasanya.

Blogger-blogger sebegini sebenarnya bukan tiada jasa mereka. Ada. Namun yang dikesalkan adalah bahasa mereka. Apa tidak ada jalan lain mahu memberikan maklumat? Apa tidak boleh disalurkan sahaja kepada mereka yang berkenaan tentang apa yang diperkatakan? Senang ya, menaip begitu begini, tung tang tung tang namun individu yang berkenaan langsung tidak membacanya. Sebaliknya pihak yang tidak berkenaan pula terhegeh-hegeh membaca dan kemudian mencerna dan menyerap segala perkataan jelik di minda. Jika yang membaca itu pandai berfikir dan membezakan baik dan buruk tidak mengapalah, namun bagaimana jika yang membaca itu adalah anak-anak kecil dan pelajar sekolah yang masih di bawah umur? Tidak terfikirkah golongan ini walau sedetik atau sekelumit di minda mereka akan jati diri anak-anak muda ini?

Sebagai bakal pendidik, saya teramatlah kesal dengan sikap segelintir blogger yang 'lepas tangan' dalam hal berbudi bahasa. Apa yang saya amati, lebih separuh kandungan blog seperti itu di'hiasi' perkataan-perkataan yang amat menjijikkan. Walaupun blog merupakan suatu kawasan peribadi, harus diingat anda tidak pula 'memagar' blog anda dari dimasuki atau dilawati golongan-golongan yang tidak berkenaan. One thing for sure, generasi sekarang sememangnya generasi atas talian. Tidak mustahil akal mereka telahpun dipenuhi dengan perkataan-perkataan negatif lama dahulu. Namun bila orang dewasa berlagak wira dan mengguna bahasa sesuka hati, saya kira satu bebanan bertambah buat para pendidik untuk melentur rebung yang telah menjadi buluh sebelum masanya. Tidak hairanlah anak-anak murid di sekolah begitu terkenal dengan bahasa 'murni' sebegini. Apa lagi bila golongan bapa sendiri yang mempelopori bahasa-bahasa sebegitu. Atau mungkin saja bila tidak dibendung, turut diajak golongan ibu melestarikannya sekaligus semacam jadi budaya dalam masyarakat kita. Keji-mengeji, carut-mencarut, lucah dan sebagainya dianggap biasa. Jangan sampai suatu hari nanti kita mati meninggalkan trademark-trademark lagha, lucah dan carut kita. Waktu itu tiada yang bernilai melainkan doa yang baik dari yang jauh dan dekat, yang mengenal atau tidak.

Rasulullah SAW bersabda; " Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam" (HR Bukhari dan Muslim)

"Janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang suka menyebarkan fitnah hasutan, yang sangat menghalangi amalan kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang sangat berdosa." (Al-Qalam:10-12)

:: rabiatul adawiyah's :: . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates