Saturday, May 28, 2011



Pada suatu hari seorang lelaki menemui seorang gadis. Beliau bertanya:

"Saya ini telah melakukan dosa. Maksiat saya terlalu banyak melebihi gunung. Andaikata saya bertaubat apakah Allah akan menerima taubat saya?"

"Tidak," jawab si gadis.

Pada masa yang lain, datang pula seorang lelaki lain kepada gadis itu dan berkata:

"Seandainya setiap butir pasir itu adalah dosa, maka seluas gurunlah tebaran dosa saya. Pelbagai maksiat telah saya lakukan, baik yang kecil mahupun yang besar. Tetapi sekarang saya telah bertaubat. Apakah Allah menerima taubat saya?"

"Sudah tentu," jawab si gadis dengan tegas.

Lalu ia menjelaskan: "Jika Allah tidak menerima taubat hamba-Nya, mungkinkah dia tergerak untuk bertaubat? Untuk berhenti daripada dosa jangan berkata, 'akan' atau 'andaikata' sebab hal itu akan merosakkan ketulusan niatmu."

Itulah di antara ucapan seorang gadis dari Kota Basrah itu dan seringkali menyakitkan hati mereka yang tidak memahami fikirannya. Bahkan ia pernah berkata: "Apa guna meminta ampun kepada Allah kalau tidak bersungguh-sungguh dan tidak terbit dari hati yang tulus dan murni?"

Setelah dewasa si gadis pernah disoal oleh Sufyan at-Thawri: "Apakah engkau mahu menikah kelak?"

Dia lalu tersenyum dan menjelaskan: "Pernikahan merupakan harus bagi mereka yang mempunyai pilihan. Padahal aku tidak mempunyai pilihan kecuali mengabdikan diri kepada Allah."

"Bagaimanakah jalannya sampai engkau mencapai martabat seperti itu?"tanya Sufyan.

"Kerana telah kuberikan seluruh hidupku kepada-Nya," ujar si gadis.

"Mengapa boleh kau lakukan itu, sedangkan kami tidak?" tanya Sufyan lagi.

Dengan ikhlas si gadis menjawab,"Sebab aku tidak mampu mencipta keserasian antara perkahwinan dan cinta kepada Allah SWT."

Ketahuilah bahawa si gadis adalah wanita sufi, Rabiatul Adawiyah.

:: rabiatul adawiyah's :: . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates