Pilihan Kita atau Pilihan Allah?
Salam Alayk...
Dah lama rasanya tak mencoretkan sesuatu yang bersifat dalaman. Yang memang sebetulnya menggambarkan apa yang saya rasa sedalam-dalamnya. Banyak kali saya lebih suka menjadi seperti 'harimau yang menyembunyikan kukunya'.
Saya diam bila ditujah dengan persoalan. Saya sangat bimbang andainya silap memberi jawapan. Boleh sahaja saya membalas pertanyaan. Tetapi saya bimbang jawapan saya dijadikan hujah untuk melepaskan diri dari perjuangan. Terkadang saya terfikir, apakah dalam perjuangan wujud hak eksklusif? Atau ia hanya sebagai alasan melindungi sang pejuang dari ancaman yang tidak nyata. Bila ada pertembungan, gunalah akal yang Allah anugerahkan untuk menilai.
Tak dinafikan, itulah yang kerap terjadi kepada kita. Mereka yang diharapkan untuk menyambung dan memeriahkan arena perjuangan tidak muncul-muncul. Pelbagai sebab mahupun alasan menjadi penghalang. Namun amat menyedihkan bila alasan itu datangnya dari diri sang pejuang sendiri. Lalu ia gugur. Bukan syahid, tetapi hilang ditelan masa. Hilang ditelan kesibukan sendiri. Bahkan ada yang berpaling, dengan menggunakan alasan jiwanya lebih sesuai dengan jalan itu. Lalu meninggalkan mereka yang lain. Mereka yang masih mengharapkan tunjuk ajar dan janji ukhwah yang dipahat dahulu. Bukan tidak tahu, tetapi rontaan dalaman yang lebih kepada mahu memuaskan hati sendiri akhirnya menyebabkan ia berlalu jua.
"Biarkan lah mereka tenggelam dengan kapal mereka. Asalkan aku puas dan selesa."
Memang tidak dinafikan, manusia selalu membuat keputusan yang boleh menyelamatkan diri sendiri. Masing-masing. Nafsi-nafsi. Hingga akhirnya wujudlah yang dinamakan perpecahan. Kerana perasaan tidak puas hati, ia berpaling lalu memilih yang sesuai dengan jiwanya. Bukan lagi sesuai dengan yang telah dipelajarinya. Ditutup sahaja mata hati kerana merasakan hujahnya paling utuh dengan apa yang dilakukan. Lupa dengan ilmu yang disandarkan kadang-kadang bukan semata-mata bermain dengan hujah. Bahkan pengalaman. Pengalaman mengajar akan natijah sesuatu tindakan. Selagi pilihan kita itu adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan tanpa melanggar syariat, silakan. Tetapi fikirkan akan natijahnya. Beware of the consequences.
p/s-untuk peringatan diri sendiri. Nauzubillah.