Friday, May 27, 2011

Secara tabie, kepimpinan adalah satu bentuk realiti yang sentiasa wujud di alam ini. Bermula daripada bentuk kepimpinan yang sebesar-besarnya, iaitu kepimpinan Allah terhadap keseluruhan alam ini, hinggalah kepada sekecil-kecilnya iaitu kepimpinan individu.

Pengiktirafan Allah kepada pimpinan manusia merupakan satu bentuk amanah. Maka kepercayaan untuk menguruskan alam ini perlulah difahami dan dilaksanakan sepenuhnya oleh insan muslim itu sendiri. Firman Allah:

Maksudnya: "Sesungguhnya Aku (Allah)melantik manusia sebagai khalifah di atas muka bumi." (Al-Baqarah: 30)

Kepimpinan adalah sejenis hubungan perilaku manusia, pengaruh, daya tindakan, serta penghalangnya ke arah matlamat yang tertentu dengan cara yang boleh menjamin kepatuhan, kepercayaan dan penghormatan.

Kedudukan kepimpinan adalah sangat penting dalam Islam. Para sahabat dan tabiin telah ijmak bahawa amanah ini adalah tuntutan syarak selepas daripada kewafatan Rasulullah. Para sahabat telah berbaiah kepada Abu Bakar untuk menjadi khalifah dengan tidak membiarkan masyarakat tanpa ada pemimpin meskipun pada ketika itu jenazah baginda belum disemadikan.

Oleh itu kepimpinan dalam Islam bukan lagi merupakan satu TASHRIF tetapi juga lebih daripada itu kerana ianya merupakan satu TAKLIF yang amat besar kepada insan yang terpilih. Ia hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi prasyarat kepimpinan untuk dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan tawakkal kepada Allah. Rasulullah SAW pernah menegaskan:

"Apabila berangkat tiga orang dalam perjalanan maka hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua."(al Hadith)

Inilah perintah baginda terhadap pelantikan ketua (pemimpin) walaupun dalam situasi yang kecil (bermusafir) dan maka apatah lagi dalam kumpulan yang besar atau organisasi yang khusus dan mempunyai tugas, sudah pasti keperluan terhadap pemimpin adalah terserlah.

KEPENTINGAN DAN MATLAMAT

Dalam perjalanan hidup insan, matlamat yang jelas merupakan satu elemen yang sangat penting kerana ia akan mendasari tindakan-tindakan yang dilaksanakan. Islam telah menggariskan beberapa matlamat utama yang perlu dicapai dan ia memerlukan satu bentuk kepimpinan bagi memastikan pelaksanaan yang syarie dan jelas.

1. Memakmurkan bumi dengan pelaksanaan syariat
Pengiktirafan manusia sebagai khalifah disertakan 'peruntukan-peruntukan' kuasa yang tertentu menjadikan tugas pemimpin untuk melaksanakan syariat merupakan satu tuntutan yang pasti. Pemimpin wajib melaksanakan syariat Allah sepenuhnya, kerana dengan cara ini sahaja kemakmuran akan dapat dikecapi. Pemimpin mestilah yakin untuk mengaplikasi saranan-saranan Islam kerana ianya dijamin oleh Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah adalah Islam (al Imran:19)

2. Menyambung Tugas Rasul
Ketetapan bahawa Rasulullah merupakan utusan terakhir menegaskan tiada lagi pemimpin umat bertaraf rasul yang akan dibangkitkan hinggalah kebangkitan semula Nabi Isa, sedangkan tugas menegakkan syariat Allah merupakan kewajipan sepanjang zaman. Oleh itu, perlulah wujud pemimpin di kalangan manusia itu sendiri untuk mengambil peranan baginda. Pemimpin yang dimaksudkan adalah pemimpin yang benar-benar berkelayakan dan bertaraf ulamak. Diiktiraf dan dia sendiri menerima wala' daripada orang di bawah pimpinannya.

3.Bukti Kepatuhan Kepada Allah
Setelah berjaya merealisasikan kedua-dua matlamat utama di atas secara tidak langsung terbuktilah kepatuhan insan muslim kepada Allah, yang dipelopori oleh pemimpin-pemimpin yang berteraskan tauhid yang kukuh dan amalan yang benar. Masyarakat akan dibimbing supaya sentiasa taat kepada Allah dalam amalan seharian mereka dan mereka sentiasa diingatkan oleh pemimpin mereka agar sentiasa berlumba-lumba mencari keredhaan Allah.

4.Kemaslahatan Ummah
Kepimpinan yang wujud bertanggungjawab untuk memastikan hak-hak semua pihak terpelihara. Apabila keadaan ini dapat direalisasikan maka nasib ummah akan terbela dan maslahat akan terjaga. Ini adalah berasaskan konsep keadilan di dalam Islam yang menuju ke arah keamanan sejagat dan kesejahteraan bersama.

-"artikel di atas saya kopi pasta, pemilik asal tak dikenalpasti tapi harap2 ada yang menegur jika tersilap."

Sebenarnya ada sambungan kepada artikel di atas, tapi panjang sangat. Tak larat eden menaip. (Bukan kopi pasta betul-betul pun). Ok, berbalik kepada kepimpinan dalam Islam, ia secara langsung berkait dengan kepimpinan beragama. Beragama dalam kepimpinan. Nak tak nak kena tahu, agama dan kepimpinan tak dapat dipisahkan..dipisahkan macamana? Haa...lu pikir la sendiri. Eh tak..tak. Macam ni. Bila disebut kepimpinan, apa yang datang kat fikiran kita? Mestilah pentadbiran atau pengurusan ye tak? Dan apa simbolik dari semua tu? Politik? YE betul...even ramai tahu politik ni ada kat mana-mana sebenarnya. Dekat tempat kerja, disebut 'office politics', kat dalam kelas, 'classroom politics', heh reka. Kalau pentadbiran dan pengurusan tu pulak, tak perlu agama ke?

Ramai yang beranggapan politik aka strategi pentadbiran dan pengurusan tu kotor, mereka mengarahkannya kepada politik parti lah apa lagi. Akhirnya ada yang lebih senang jadi atas pagar atau neutral. Padahal dalam Islam, siasah lebih kepada penjaga. Maksud si sini pihak yang memelihara urusan umat, memahaminya dengan kefahaman yang mendalam dan menyelesaikannya dengan pemikiran dan pandangan yang betul. Dan siapakah yang paling disepakati sebagai pihak yang dapat memelihara urusan ummah dengan mengikut lunas Islam yang betul kalau bukan golongan Ulama'? Kalau kita buka mata hati dan minda jelas bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri adalah seorang Ulama'. Sebab itu disebut Ulama' pewaris nabi. Para sahabat dan tabi' tabiin juga adalah dari golongan yang mampu mengeluarkan fatwa berkaitan sesuatu urusan ummah. Oleh sebab itulah pentingnya para pentadbir ummah ini dari golongan agamawan yang mampu mengeluarkan hujah dan fatwa demi kemaslahatan ummah. Even seorang protaz atau prozah pun, sekiranya dia bukan Ulama', dia masih belum mampu. Namun tidak dinafikan sumbangan mereka terhadap Islam. Cuma seandainya berlaku pertembungan.

Pendek kata, kalau ilmu tentang siasah dan kepimpinan dalam Islam masih kurang, carilah ilmu sebanyak-banyaknya supaya kita tidak membuat keputusan mengikut akal pendek dan dalil sendiri yang akhirnya merugikan umat Islam. Wallahua'lam.

:: rabiatul adawiyah's :: . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates